SEOUL, 15 SEPT – Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun memulakan latihan udara dan laut berhampiran sebuah pulau Korea Selatan, hari ini, dalam latihan bersama terbaharu yang dikecam Korea Utara sebagai ‘pertunjukan kekuatan yang melulu’.
Latihan yang dinamakan Freedom Edge itu bertujuan memperkukuh keupayaan operasi bersama di laut, udara dan ruang siber, serta dianggap perlu untuk menangkis ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara yang semakin meningkat, menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan.
Komando Indo-Pasifik AS menyatakan latihan itu akan melibatkan aset udara Kor Marin dan Tentera Udara AS, termasuk latihan pertahanan peluru berpandu balistik serta udara, pemindahan perubatan kecemasan, dan operasi maritim, menjadikannya “demonstrasi kerjasama pertahanan tiga hala paling canggih setakat ini.”
Latihan berhampiran Pulau Jeju di selatan Korea Selatan itu akan berlangsung hingga Jumaat.
Adik perempuan berpengaruh kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sebelum ini mengecam latihan tersebut melalui media negara, dengan menyatakan ia membuktikan pendirian konfrontasi negara-negara itu terhadap Pyongyang.
“Pertunjukan kekuatan melulu yang dilakukan mereka secara nyata berhampiran DPRK, di lokasi yang salah, pasti akan membawa akibat buruk kepada mereka sendiri,” kata Kim Yo Jong, merujuk kepada nama rasmi Korea Utara, Republik Demokratik Rakyat Korea.
Beliau turut mengkritik AS dan Korea Selatan berhubung latihan meja Iron Mace yang terbaharu, yang bertujuan meneroka cara mengintegrasikan kemampuan nuklear Washington dengan kemampuan konvensional Seoul bagi mengukuhkan pencegahan terhadap ancaman Korea Utara. – AP


