Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 NOV – Seramai 39 orang pemandu pelancongan yang berdaftar dan berlesen di bawah Jabatan Kemajuan Pelancongan telah menyertai sesi latihan yang berlangsung di Taman Peranginan Tasek Lama pada 18 November hingga 21 November lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, menyatakan empat sesi latihan berkenaan telah dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Perhutanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan.
Latihan itu adalah berpandukan buku panduan laluan Taman Peranginan Tasek Lama iaitu destinasi pelancongan yang semakin popular terutama bagi pemerhati burung dan pencinta alam.
Taman Peranginan Tasek Lama merupakan salah satu taman tertua yang diiktiraf di negara ini dengan tasik serta air terjun buatan yang menawarkan persekitaran tenang dan indah, sesuai untuk bersantai dan berjalan-jalan sambil menikmati alam semula jadi.
Sesi latihan itu merupakan salah satu inisiatif Jabatan Kemajuan Pelancongan dan Jabatan Perhutanan khusus untuk pemandu-pemandu pelancong supaya dapat menimba ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran serta pengetahuan dalam memberikan perkhidmatan pemanduan yang lebih berkualiti kepada pengunjung.
Latihan di bawah pimpinan Jabatan Perhutanan berkenaan bermatlamat untuk memberikan maklumat mendalam mengenai spesies pokok, flora dan fauna, tumbuh-tumbuhan dan hidupan liar serta mercu tanda bagi setiap tapak yang dikenal pasti yang terdapat di Taman Peranginan Tasek Lama.
Salah seorang peserta latihan, Mohammad Ajrul bin Haji Mail menerangkan latihan itu merupakan satu pengalaman yang sangat positif kepada beliau apabila diberi penerangan mengenai dengan nama tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok dari segi nama tempatan, nama saintifik, bahasa Inggeris dan juga kegunaan tumbuh-tumbuhan berkenaan contohnya dalam perubatan dan pemakanan.
“Kami sangat menghargai usaha Jabatan memberi latihan seperti ini,” tambah Mohammad Ajrul lagi.
Jabatan Kemajuan Pelancongan amat komited untuk meningkatkan mutu perkhidmatan pelancongan di Negara Brunei Darussalam. Melalui program latihan itu, diharap pemandu pelancong akan dapat memberikan perkhidmatan pemanduan yang lebih profesional dan berkualiti kepada pengunjung dan seterusnya mempamerkan keindahan Brunei kepada pelancong-pelancong.