Saturday, May 3, 2025
32.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan konsisten, disiplin pacu kejayaan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    Kemerduan alunan ayat suci Al-Quran yang dihiasi dengan keindahan taranum ditambah lagi bacaan penuh penghayatan mampu menenangkan jiwa serta minda, bukan sahaja kepada pembacanya sendiri malah turut memberi kesan kepada yang mendengarnya.

    Lantunan ayat-ayat suci yang tiada tandingannya di alam semesta ini semakin bersemarak apabila diperdengarkan lagi oleh kelunakan suara daripada para pencinta seni Al-Quran yang penuh bersemangat dalam menyampaikan rangkap-rangkap kalam Allah melalui sebuah kitab terakhir dan teragung yang menjadi panduan cara hidup lengkap bagi manusia di dunia ini.

    Sehubungan itu, pihak media telah berpeluang menemu bual johan qari dan qariah Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2025, baru-baru ini, untuk berkongsi kegembiraan dan persiapan yang telah dibuat untuk musabaqah kali ini.

    Awang Ahmad Zulwaqar bin Haji Suhaili, selaku johan qari mengongsikan perasaan gembira dan bersyukur dengan pengiktirafan tersebut pada musabaqah kali ini.

    Beliau menjelaskan, ia merupakan satu penghormatan besar buat dirinya, di mana dengan kejayaan yang diraih itu bukan sahaja mampu membangkitkan kegembiraan, tetapi turut menganggap ia sebagai satu amanah yang perlu digalas dengan rasa tanggungjawab dan kesungguhan yang berterusan.

    Awang Ahmad Zulwaqar bergambar bersama piala yang dimenangi pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dayangku Siti Ummi Syazana bergambar bersama piala yang dimenangi pada acara itu. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Awang Ahmad Zulwaqar memperdengarkan bacaan pada hari kedua pertandingan musabaqah itu.
    – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Dayangku Siti Ummi Syazana semasa memperdengarkan bacaan pada pertandingan musabaqah tersebut.
    – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Antara yang hadir ke Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 2025, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Kejayaan yang dicapai itu, tambahnya, merupakan kali pertama mendapat rezeki untuk bergelar johan qari dan menganggap ia sebagai permulaan kepada perjalanan yang lebih jauh dalam mendalami dan memperjuangkan keindahan bacaan Al-Quran.

    Selain itu, beliau turut menaruh harapan agar pencapaian itu dapat menjadi pemangkin semangat untuk melangkah ke peringkat antarabangsa, serta menjadi inspirasi kepada generasi muda agar lebih mencintai seni bacaan Al-Quran dan memperkukuhkan hubungan mereka dengan Kalamullah.

    Di samping berkongsi harapan atas kejayaan yang diraih pada musabaqah itu, beliau turut berkongsi persiapan yang telah dibuat sebelum menghadapi musabaqah yang mana ia bermula sebulan sebelum pertandingan berlangsung.

    “Dalam tempoh tersebut, saya memberi penekanan kepada penjagaan kesihatan tubuh badan dan suara, bagi memastikan keadaan fizikal dan vokal sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

    “Di samping itu, latihan juga dijalankan secara konsisten bersama beberapa guru yang mahir dalam bidang taranum, bagi memperhalusi persembahan dan memastikan agar taranum dapat disampaikan sesuai dengan makna ayat yang dibaca.”

    Namun begitu, tambahnya, cabaran utama yang beliau hadapi ialah dari segi pengurusan masa, di mana beliau juga merupakan seorang siswa di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) yang memikul tanggungjawab di sekolah.

    “Justeru, menyusun masa antara tugasan akademik dan persediaan musabaqah memerlukan disiplin dan komitmen yang tinggi, dan alhamdulillah cabaran yang dihadapi dapat diatasi dengan baik dan teratur berkat sokongan keluarga, guru dan sahabat,” jelasnya.

    Sementara johan qariah, Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Marjuki pula mengongsikan yang mana rezeki untuk bergelar sebagai johan qariah itu sebagai rezeki yang tidak disangka-sangka dan berharap agar terus diberikan petunjuk dan hidayah dari Allah SWT untuk memperbaiki bacaan dan mengamalkan segala isi kandungan Al-Quran. InsyaAllah.

    Di sebalik kejayaan yang telah diraih pada musabaqah kali ini, jelasnya, kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa doa, sokongan, dorongan dan motivasi daripada keluarga sendiri, ibu bapa, guru-guru, sahabat-sahabat sejak dari awal lagi.

    “Para guru yang sentiasa membetulkan dan membimbing bacaan saya secara bertalaqqi ataupun secara langsung membetulkan sekiranya terdapat kekurangan dalam bacaan,” tambahnya.

    “Menyentuh dari segi persiapan pula, sebelum musabaqah bermula, beberapa persiapan telah dibuat agar dapat mempersembahkan bacaan sepenuhnya seperti latihan bersama guru-guru yang lebih berpengalaman daripada saya sendiri.

    “Ini seperti berguru kepada abang saya, Pengiran Muhammad Adibul Amin, guru-guru saya Dato Paduka Haji Mohd Yusop bin Bakar, Haji Ismail bin Haji Sulaiman dan Hajah Siti Noor Dzuhairah binti Haji Awang Damit.

    “Selain daripada mempersiapkan diri dari sudut bacaan, persediaan mental dan fizikal juga memainkan peranan seperti membuat olahraga sekurang-kurangnya 40 minit ke sejam setiap hari.

    “Ini sangat membantu dari segi menguatkan mental saya sendiri dan stamina dalam mengawal pernafasan,” jelasnya.

    Walaupun beberapa persiapan telah dibuat dengan rapi, setentunya pasti akan ada cabaran di mana beliau perlu juga memastikan mendapat rehat yang cukup dan dapat meluangkan masa bersama keluarganya.

    Dayangku Siti Ummi Syazana seterusnya menjelaskan, untuk membuat persiapan musabaqah dan dalam masa yang sama menguruskan tanggungjawab terhadap keluarga, beliau cuba menyusun jadual harian dengan sebaik mungkin.

    “Saya tetapkan masa khusus untuk tasmie’ dan latihan bacaan Al-Quran selalunya pada waktu pagi atau malam dan dalam masa yang lain, saya pastikan saya luangkan masa bersama keluarga dan memastikan saya sempat membuat senaman setiap petang sebelum latihan bacaan Al-Quran malam harinya.”

    Beliau turut menegaskan, kunci utamanya adalah disiplin, sokongan keluarga dan doa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan.

    Menurutnya, persiapan untuk musabaqah itu telah pun bermula lebih awal iaitu sejak daripada tahun lepas lagi di mana beliau berguru dan sering berbincang mengenai taranum Al-Quran bersama adik beradik sendiri.

    Kemudian latihan tambahan diadakan bersama Dato Paduka Haji Mohd Yusop, Hajah Siti Noor Dzuhairah dan Haji Ismail, yang mana mereka ini memang tidak asing lagi pernah mewakili dan mengharumkan nama negara di pertandingan musabaqah Al-Quran peringkat antarabangsa.

    Beliau turut berharap dengan kejayaan yang diraih ini bukanlah penamat tetapi satu permulaan untuk terus memperbaiki dan memperdalamkan lagi ilmu Al-Quran khususnya dalam bidang taranum.

    “Perancangan saya selepas ini adalah untuk terus berguru kepada yang lebih arif, memperkemaskan tajwid dan taranum, dan terus memberi kekuatan untuk sentiasa istiqamah dalam mempelajari bidang taranum Al-Quran,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda

    Tingkat gelap