Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan penuh pastikan kelancaran

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 SEPT – Latihan penuh bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah berlangsung dengan lancar pagi tadi di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan. 
     
    Latihan ini bertujuan memastikan persediaan semua pengendali bersama serta peserta perarakan berjalan tertib dan sempurna menjelang sambutan utama pada 13 Rabiulawal bersamaan 6 September, jam 7 pagi.
     
    Hadir menyaksikan latihan penuh berkenaan ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, selaku Penasihat Bersama Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Peringkat Negara dan Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD); dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
     
    Turut hadir ialah setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap dari pengendali bersama serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi yang lain.
     
    Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1447 Hijrah dikendalikan bersama oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama; Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta BIBD.
     
    Tema sambutan tahun ini ialah Rasulullah SAW Adalah Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah, menekankan nilai kasih sayang, keharmonian dan teladan hidup Rasulullah SAW dalam membina keluarga bahagia dan berkat.
     
    Latihan penuh pagi tadi turut menekankan aspek perarakan, perhimpunan, kawalan keselamatan dan pengurusan peserta bagi memastikan sambutan berlangsung dengan tertib dan lancar. Semua pengendali bersama, termasuk pegawai-pegawai kementerian, agensi kerajaan dan BIBD, telah mengambil bahagian secara aktif untuk menjayakan sambutan.
     
    Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara bukan sahaja memperingati kelahiran junjungan besar umat Islam, malah berperanan memperkukuh syiar Islam di negara ini serta mendidik generasi muda mencontohi akhlak dan nilai murni Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian.
     
    Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri semasa menyaksikan latihan penuh Majlis Sambutan Maulud Nabi. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda