Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Tidak lama lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut Maulud Nabi Muhammad SAW bagi tahun 1445 Hijrah.
Sehubungan itu, di Negara Brunei Darussalam perhimpunan dan perarakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah akan diadakan secara serentak di keempat-empat daerah dengan tumpuan utama di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien pada 28 September jam 7 pagi.
Sementara itu, bagi memastikan kelancaran sambutan, latihan penuh bagi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW peringkat negara telah diadakan di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, hari ini.
Hadir menyaksikan latihan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW Peringkat Negara Tahun 1445 Hijrah.
Tema Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW bagi Tahun 1445 Hijrah ialah ‘Sunnah Dihayati, Hidup Diberkati’.