Oleh Sim Y.H, Salawati Haji Yahya dan Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Pelbagai aktiviti dan latihan yang diadakan oleh Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), baru-baru ini.
Fakulti Pertanian, Kampus Sinaut, UNISSA dengan kerjasama pasukan Jabatan Perhutanan telah menjalankan aktiviti persampelan tanah bagi latihan fasa pertama, baru-baru ini.
Ia bermatlamat untuk memperkasakan latihan bidang penyelidikan dan pembangunan pasca siswazah program sarjana dan PhD yang pakar dalam pelbagai aspek pertanian khususnya pengurusan tanah.
Sebagai permulaan, tiga orang mahasiswa dan mahasiswi sarjana dan PhD kini melakukan penyelidikan tentang bio-fertilizers, soil conditioners, and soil phosphorus management bagi meningkatkan produktiviti tanah dan tanaman di Negara Brunei Darussalam.
Sementara itu, fakulti tersebut juga baru-baru ini telah bekerjasama dengan Jabatan Perhutanan mengadakan aktiviti pengumpulan lebih 40 spesimen herba hidup.
Aktiviti tersebut telah diketuai oleh Pensyarah Fakulti Pertanian, Dayang Syahirah binti Haji Shahlehi, bersama enam orang ahli fakulti yang lain manakala Jabatan Perhutanan diketuai oleh Penolong Pegawai Perhutanan Awang Mohammad Sabri bin Haji Mohammad Azmi bersama tiga lagi ahli pasukan.
Herba hutan mempunyai nilai perubatan yang signifikan dalam masyarakat Brunei, menjadikan aktiviti ini penting untuk mengembangkan koleksi herba sedia ada yang terdapat di Kampus Sinaut, UNISSA bagi tujuan pengajaran dan penyelidikan.
Sementara itu, Fakulti Pertanian dan Pusat Penyelidikan Halalan Thayyiban, UNISSA juga telah menyertai sesi konsultasi semasa Program Meet & Greet Career Consultation yang diadakan di Pusat Tingkatan Enam Tutong (PTET) pada 13 Julai lalu, yang mana pelajar berkenaan berpeluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program sijil dan ijazah yang ditawarkan oleh universiti berkenaan.
