Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Dengan matlamat meningkatkan komunikasi, keupayaan respons insiden dan usaha kolektif Asia-Pacific Computer Security Incident Response Teams (CSIRTs) untuk mengurangkan ancaman siber, Cyber Security Brunei (CSB) dan International Telecommunication Union (ITU) telah menganjurkan 2024 ITU Regional Asia-Pacific CyberDrill yang berlangsung di Hotel Radisson, di ibu negara.
Sehubungan itu, majlis perasmian latihan siber berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sekuriti Siber Kebangsaan, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.
Latihan siber selama tiga hari yang bermula 19 hingga 21 November itu disertai oleh wakil-wakil dari 21 buah negara di rantau ASEAN, kepulauan Pasifik dan sub-benua India termasuk Bangladesh, Bhutan, Fiji, Kiribati, Maldives, Mongolia, Nepal, Palau, Samoa, Sri Lanka, Tonga dan Vanuatu.
Pesuruhjaya Interim CSB, Awang Shamsul Bahri bin Haji Kamis menyatakan ia merupakan satu penghormatan untuk bekerjasama dengan ITU untuk mengukuhkan kedayatahanan siber Brunei dengan membangun kapasiti dan keupayaan pelbagai organisasinya termasuk Infrastruktur Maklumat Kritikal (CII) melalui latihan siber (CyberDrill).
Di samping itu, beliau turut menyatakan pihaknya amat teruja untuk menyumbang kepada pembangunan serantau dalam sekuriti siber menerusi penyertaan 21 buah negara dalam acara berkenaan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Shamsul Bahri menyatakan sejak penubuhan CSB pada Ogos 2020, misinya adalah melindungi setiap aspek sekuriti siber khususnya perlindungan CII di Brunei.
Oleh itu, Latihan Siber ITU diadakan tepat pada masanya dengan penggubalan Undang-undang Sekuriti Siber pada 2023 di mana CII di bawah undang-undang itu komited mengambil bahagian dalam latihan siber mandatori anjuran CSB dalam masa terdekat.
Beliau menjelaskan ia bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan pemilik-pemilik CII yang berlainan dalam tindak balas terhadap insiden sekuriti siber yang signifikan.
Sementara itu, Pengarah Biro Pembangunan Telekomunikasi ITU, Dr Cosmas Luckyson Zavazava dipetik menyatakan 2024 ITU Regional Asia-Pacific CyberDrill menyediakan peluang berharga bagi pembelajaran sekuriti siber, mengukuhkan kapasiti sekuriti siber dan kolaborasi serantau.
Persidangan itu turut mengetengahkan pembentangan Indeks Sekuriti Siber Global (GCI) 2024; panel perbincangan mengenai keadaan sekuriti siber di rantau Asia-Pasifik dengan meneroka landskap sekuriti siber masa kini oleh pakar CSB, INTERPOL, Palau dan Mongolia serta sesi meja bulat dengan wakil-wakil dari Filipina, Thailand, Nepal dan Brunei untuk bertukar-tukar pandangan mengenai strategi serta amalan terbaik sekuriti siber kebangsaan.
Selain itu, acara tersebut juga menawarkan sesi Membina Keupayaan Analisis Perisian Hasad (Malware) bagi CSIRTs di mana latihan teknikal berkenaan melengkapkan para peserta dengan teknik-teknik analisis perisian hasad lanjutan serta Pengurusan Krisis Siber Kebangsaan dengan latihan pengurusan menumpukan kepada pelaksanaan dan perancangan tindak balas krisis efektif.
Pada akhir acara berkenaan, ia akan mengetengahkan latihan siber intensif yang mensimulasikan serangan siber dunia sebenar di mana ia melibatkan kira-kira 100 peserta termasuk 53 peserta tempatan.