Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan pupuk kesedaran kebersihan tandas awam

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MAC – Seramai 61 orang peserta yang terdiri daripada pemilik-pemilik, pengurus, penyelia dan kakitangan kerajaan yang berkenaan telah menyertai latihan bagi Role of Clean and Hygienic Publics Toilets in the Tourism Industry of Brunei Darussalam yang dijalankan dalam empat sesi di Bilik VIP, Tingkat 1, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), baru-baru ini.

    Latihan yang dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP dengan kerjasama Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan dan Latihan Vokasional dan Teknikal (SEAMEO VOCTECH) itu dikendalikan bagi restoran, gedung membeli-belah, pos kawalan, pasar, tamu dan pantai.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, hari ini, latihan itu bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada pihak-pihak berkepentingan yang berkenaan mengenai kebersihan tandas awam dan tatacara pembersihan tandas yang berkesan dengan menggunakan amalan terbaik.

    Latihan itu juga dapat mengajar peserta-peserta mengurangkan ancaman pencemaran dan menjaga persekitaran tandas awam yang lebih bersih dan selamat untuk digunakan oleh para pelancong dan masyarakat umum, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik COVID-19 pada masa ini.

    Latihan berbentuk amali dan praktikal itu telah disampaikan oleh Pengurus Perkembangan Latihan dan Profesional dari SEAMEO VOCTECH, Dayang Norhayati Cynthia Abdullah.

    Selain daripada itu, peserta-peserta juga belajar tentang cara pengurusan tandas yang lebih efektif serta mengamalkan pengurusan air dan pelupusan sisa yang betul bagi memastikan semua peralatan dan kemudahan yang disediakan adalah bersesuaian di samping menyediakan tenaga kerja yang khusus untuk mengendalikan tandas.

    Antara program latihan ialah lawatan-lawatan ke Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan juga Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang mana kedua-dua tempat tersebut adalah sebagai tandas contoh yang telah dinilai mendapat Gred A hasil daripada pengauditan tandas yang telah dijalankan oleh Unit Standard dan Pematuhan, Jabatan Kemajuan Pelancongan. KSSUP melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan amat mengambil berat terhadap kebersihan tandas-tandas awam terutama di lokasi-lokasi yang sering dikunjungi oleh pelancong-pelancong dan orang ramai.

    Pada 2020, Jabatan Kemajuan Pelancongan telah melaksanakan pengauditan tandas awam secara berterusan bagi sebanyak 58 buah tandas awam di seluruh Negara dan telah membuat penilaian penggredan terhadap tandas-tandas berkenaan.

    Hasil daripada pengauditan terhadap 58 buah tandas awam, sebanyak 28 buah tandas telah dinilai Gred A dan B manakala 30 buah tandas telah dinilai Gred C dan ke bawah.

    Para peserta Latihan bagi Role of Clean and Hygienic Publics Toilets in the Tourism Industry of Brunei Darussalam, bergambar ramai. – Gambar serahan Jabatan Kemajuan Pelancongan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda