MANILA, 2 OKT – Amerika Syarikat (AS) dan Filipina melancarkan latihan ketenteraan laut bersama tahunan hari ini, beberapa hari selepas pertikaian diplomatik terbaharu antara Manila dan Beijing berhubung Laut China Selatan yang dipertikaikan.
Lebih 1,000 kelasi daripada kedua-dua sekutu tersebut mengambil bahagian dalam latihan ‘Samasama’ (Bahasa Tagalog untuk Bersama) tahunan yang melibatkan latihan anti-kapal selam, peperangan permukaan dan elektronik di luar pantai Manila dan selatan Luzon, pulau utama Filipina.
Desakan China di Laut China Selatan, yang dituntut hampir keseluruhannya oleh Beijing walaupun keputusan antarabangsa 2016 menyatakan bahawa ia tidak mempunyai asas undang-undang, telah menimbulkan kebimbangan yang semakin meningkat bagi Washington dan sekutu-sekutunya di rantau itu.
Ketua Komando Pasifik AS, Laksamana Muda Karl Thomas memberitahu kelasi-kelasi dalam upacara pembukaan di Manila bahawa hak semua negara untuk menjamin kedaulatan negara sedang ‘diserang setiap hari di laut lepas’.
“Ketenteraman antarabangsa berasaskan peraturan” yang menjamin keamanan serantau selama beberapa dekad telah “disentuh, dirobek dan diuji untuk memberi manfaat bukan kepada semua negara tetapi hanya satu negara,” katanya, tanpa menyebut China secara khusus.
“Tiada cara yang lebih baik untuk memastikan kedaulatan dan keselamatan selain belayar dan beroperasi bersama,” kata Thomas.
Ditanya pada sidang akhbar tentang siapa yang dirujuknya, Thomas berkata adalah penting untuk mengekalkan hak untuk belayar melalui kawasan itu ‘tanpa perlu berasa risau tentang serangan’ atau ‘ugutan’.
Ketua Tentera Laut Filipina, Laksamana Muda Toribio Adaci berkata latihan Samasama ‘melengkapkan kita untuk menghadapi pelbagai ancaman bersama-sama’.
Pegawai Tentera Laut AS berkata kapal pemusnah dilengkapi peluru berpandu, USS Dewey akan mengambil bahagian dalam latihan selama 12 hari akan datang, bersama-sama dengan kapal peluru kargo kering dan pesawat pengawasan maritim, P-8 Poseidon.
Kapal frigat dilengkapi peluru berpandu Tentera Laut Filipina juga akan mengambil bahagian, bersama-sama dengan kapal pemusnah Angkatan Pertahanan Diri Maritim Jepun dan kapal frigat Tentera Laut Diraja Kanada, HMCS Vancouver. – AFP