Sabtu, 22 November 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan Table-Top uji kesiapsiagaan krisis

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OKT – Dalam usaha bersama untuk melindungi dan meningkatkan kesiapsiagaan Negara Brunei Darussalam, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD) dan agensi-agensi di bawah Pelan Kontingensi Tumpahan Minyak Negara Brunei Darussalam (NOSCOP) telah mengadakan latihan Table-Top selama tiga hari bermula 23 hingga 25 September lalu.
     
    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BSP, di sini, latihan itu menghimpunkan lebih 270 orang pakar daripada lebih 30 buah agensi tempatan dan antarabangsa untuk menyelaras dan menggariskan pentingnya kesiapsiagaan krisis dan keupayaan di Negara Brunei Darussalam serta kolaborasinya dengan negara-negara jiran dan agensi respons. Acara itu berhasrat untuk menguji penyelarasan pemulihan.   
     
    Latihan itu juga disokong oleh Pusat Kepakaran Tumpahan Minyak (OSEC), Rangkaian Sokongan Tindak Balas Global Shell (GRSN), entiti berkaitan serta kontraktor dan penyedia perkhidmatan kecemasan profesional.
     
    Pengarah Urusan BSP, Johan Atema mengulas bahawa keselamatan merupakan keutamaan nombor satu di mana sebagai operator minyak dan gas yang bertanggungjawab, mereka perlu untuk memastikan bahawa mereka bersedia dan terlatih bagi sebarang kecemasan yang boleh memberikan impak signifikan kepada negara.
     
    “Ini mengambil pendekatan seluruh negara untuk memastikan bahawa dalam apa jua keadaan serius, kita mempunyai keupayaan untuk menanganinya dan meminimumkan kesannya. 
     
    Para pakar bersama agensi tempatan dan antarabangsa bergambar ramai semasa latihan itu. – GAMBAR SERAHAN BSP
    Para pakar bersama agensi tempatan dan antarabangsa semasa latihan tersebut. – GAMBAR SERAHAN BSP
    GAMBAR SERAHAN BSP
    GAMBAR SERAHAN BSP
    “Melaksanakan ini dengan simulasi dan memastikan bahawa kita semua boleh bekerjasama dengan lancar apabila diperlukan adalah sangat penting,” tambahnya.
     
    Beliau menyatakan bahawa kaedah yang terbaik untuk bersiap sedia terhadap krisis adalah dengan mengadakan latihan dan untuk belajar.
     
    “Kita kemudiannya berlatih dan bersedia untuk kejadian besar dan tidak diingini dan kemudian menilai keupayaan kita untuk bertindak balas. 
     
    Keupayaan ini bukanlah sesuatu yang boleh awda pelajari dengan mudah, sebaliknya awda mengasahnya dengan melatih dan berlatih bersama-sama dengan semua pihak yang terlibat dalam krisis sebenar.
     
    “Saya bersyukur kerana kita mempunyai peluang ini dan dengan kerjasama dan sokongan yang luar biasa semua agensi kerajaan dan dengan itu kita boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat bersatu untuk memastikan Brunei selamat dan bersih,” ujarnya.
     
    Sementara itu, Ketua Eksekutif MPABD merangkap Pengerusi NOSCOP, Kapten (B) Zil Husam bin Haji Abdul Rahman berkata mereka mempunyai peluang untuk menguji keupayaan dan kecekapan antara agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat sektor swasta mengenai bagaimana cekap mereka mampu mengemudi melalui sebuah krisis bersama.
     
    Latihan itu, tambahnya, bukan sahaja menguji rancangan dan prosedur mereka tetapi ia juga menunjukkan dedikasi kolektif mereka untuk melindungi kehidupan maritim berharga Brunei serta untuk melakukannya sambil berusaha bersatu, mempamerkan kesinambungan kesiapsiagaan operasi, perpaduan hasrat dan tujuan yang jelas.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda