Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan tangani kecemasan di lapangan terbang

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Dengan matlamat untuk memastikan ketersediaan agensi-agensi dalam menangani kejadian kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan Field Training Exercise bagi Latihan Kecemasan LTAB pada 18 Oktober.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penerbangan Awam, di sini, hadir menyaksikan latihan berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku Pemangku Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi dan ahli-ahli dari agensi-agensi berkepentingan di LTAB.

    Latihan kecemasan yang mengambil masa kira-kira enam jam bermula dari pukul 9 pagi hingga 3 petang itu melibatkan kerjasama daripada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan kerajaan dan agensi-agensi yang berkepentingan di LTAB seperti Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Kementerian Kesihatan, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Penerangan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei dan semua agensi yang terkandung di dalam Pelan Kecemasan LTAB.

    Latihan kecemasan LTAB itu dikendalikan dengan matlamat untuk meningkatkan kesedaran pentingnya peranan dan prosedur operasi standard bagi setiap agensi berkepentingan di LTAB dalam menangani situasi kecemasan yang tidak dijangka, seperti sekiranya berlaku nahas pesawat di lapangan terbang berkenaan.

    Di samping itu, ia juga bertujuan menilai kecekapan dan keberkesanan dalam menyelaras dan menangani kecemasan yang melibatkan operasi penerbangan dan perkhidmatan lapangan terbang.

    Latihan kecemasan itu didahului dengan acara Seminar dan Latihan Table Top yang telah diadakan pada 9 dan 16 Oktober di Damai Ballroom, Aman Hills dengan taklimat-taklimat daripada beberapa buah agensi berkepentingan di LTAB.

    Ia disusuli dengan Latihan Table Top bertujuan untuk menguji dan meningkatkan kesediaan kecemasan di LTAB, di mana para peserta akan menjalankan teknik tindak balas berdasarkan peranan dan prosedur masing-masing.

    Pelaksanaan latihan itu diharap dapat memastikan ketersediaan agensi-agensi dalam menangani kejadian kecemasan terutama dalam menguji keberkesanan penyaluran dan penerimaan maklumat dan sistem perhubungan di antara agensi-agensi berkepentingan di LTAB, seterusnya memberikan maklum balas yang membina kepada agensi-agensi berkenaan dengan pandangan untuk mengukuhkan keseluruhan rangka kerja pengurusan krisis.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf hadir menyaksikan latihan yang diadakan di LTAB. – Gambar serahan Jabatan Penerbangan Awam
    ATAS & BAWAH: Antara latihan yang dianjurkan semasa Field Training Exercise bagi Latihan Kecemasan LTAB baru-baru ini. – Gambar serahan Jabatan Penerbangan Awam
    Gambar serahan Jabatan Penerbangan Awam
    Gambar serahan Jabatan Penerbangan Awam
    Gambar serahan Jabatan Penerbangan Awam

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda