Tuesday, November 5, 2024
29.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan tentera bersama Rusia tanda perubahan dasar Indonesia

    JAKARTA, 3 NOV – Latihan ketenteraan bersama Indonesia dengan Rusia yang pertama minggu ini menunjukkan bahawa Presiden baharu, Prabowo Subianto akan mencari peranan yang lebih besar untuk Jakarta di pentas dunia sebagai sebahagian daripada perubahan dasar luar yang ketara, kata penganalisis.

    Indonesia telah lama mengekalkan dasar luar yang neutral dan enggan memihak dalam konflik Rusia-Ukraine atau persaingan Amerika Syarikat (AS)-China, tetapi Prabowo telah menyeru untuk memperkuatkan hubungan dengan Moscow walaupun terdapat tekanan dari Barat terhadap Jakarta.

    “Ia adalah sebahagian daripada agenda yang lebih luas untuk meningkatkan hubungan dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira blok geopolitik mereka, asalkan ada manfaat untuk Indonesia,” kata Pieter Pandie, penyelidik di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.

    Blok ASEAN yang dianggotai Indonesia telah mengadakan latihan bersama dengan Rusia pada tahun 2021, tetapi Jakarta tidak pernah mengadakan latihan secara eksklusif dengan Moscow.

    Jakarta mempunyai hubungan perdagangan bernilai bilion dolar dengan Moscow, tetapi import senjata utama telah terhenti dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut pemantau senjata SIPRI.

    Walau bagaimanapun, Prabowo meneruskan perjanjian jet pejuang bernilai AS$1.1 bilion dengan Rusia yang dipersetujui pada tahun 2018 ketika beliau dilantik sebagai menteri pertahanan setahun kemudian, walaupun terdapat ancaman sekatan dari AS.

    Jakarta juga enggan tunduk ketika negara-negara Barat melobi Indonesia untuk membatalkan jemputan Rusia dari sidang kemuncak G20 yang dihoskan pada tahun 2022.

    Prabowo bertemu dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Kremlin pada bulan Julai, kemudian mengumumkan latihan tentera laut bersama yang menurut pakar menunjukkan betapa pentingnya Moscow dalam rangka dasar luar yang lebih luas.

    Latihan selama lima hari itu bermula pada Isnin di Jawa Timur di mana Moscow akan menghantar tiga kapal perang kelas korvet, sebuah kapal tangki sederhana, sebuah helikopter tentera, dan sebuah bot tunda. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda