Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Latihan-latihan melalui dialog dan penerangan mengenai peraturan dan undang-undang yang berkuasa di negara ini adalah sebagai langkah untuk meningkatkan kesedaran dalam perkara integriti dan pematuhan dalam kalangan penjawat awam di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Antara latihan yang dimaksudkan ialah Peraturan-peraturan Kewangan, peraturan Perintah-perintah Am bagi penjawat awam, Akta Pencegahan Rasuah kanun keseksaan dan peraturan-peraturan yang berkaitan.
Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid menjelaskan perkara itu semasa sesi permesyuaratan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) di Dewan Majlis, hari ini.
“Latihan seumpama ini adalah relevan bagi memberi peringatan atau kesedaran kepada penjawat yang bertugas di Kementerian Pembangunan. Ia berkait jua dengan satu latihan yang telah dibuat di Kementerian Pembangunan pada bulan September tahun lepas,” kata Yang Berhormat Menteri Pembangunan.
Melihat daripada risiko itu, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa satu langkah untuk memberi peringatan kepada penjawat-penjawat dan petugas-petugas di Kementerian Pembangunan dalam mengingatkan keutamaan sifat etika dari segi pematuhan dan juga dari segi kejujuran sebagai benteng dalam pengawalseliaan dalam menghadapi cabaran-cabaran.
Contohnya ialah penipuan dalam tuntutan-tuntutan yang dihadapkan, pegawai-pegawai yang memberi kelulusan tuntutan tanpa membuat pemeriksaan sama ada yang dituntut itu ada sudah dibuat dengan sebaik-baiknya mengikut spesifikasi dan keperluan yang telah disebutkan.
Selain itu, menurutnya, ia juga bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang penyalahgunaan kuasa, pilih kasih dan perkara-perkara yang melibatkan perlakuan seperti rasuah.
“Dalam meningkatkan kesedaran ini dalam usaha meningkatkan tabiat urus yang baik di samping cabaran yang disedari, di antara pelan tindakannya ialah latihan dalam meningkatkan kesedaran bagi pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan yang telah diadakan pada bulan September 2022 secara in-house training,” jelas Yang Berhormat Menteri Pembangunan lagi.
Menurut beliau, latihan tersebut yang dipanggil MOD Talk Series mengandungi beberapa tajuk bengkel dan taklimat, antaranya Corruption and Integrity Talk yang merangkumi undang-undang anti-rasuah, kajian kes yang memberikan kefahaman bagaimana sesuatu perlakuan itu boleh disabitkan sebagai satu kesalahan rasuah, penipuan atau penyalahgunaan kuasa dengan perkara-perkara yang melibatkan pengurusan kontrak dan projek, Contract Administration Guide, Quotation Administration Guide, taklimat peraturan kewangan, manual prosedur kerja dan perkongsian mengenai kesalahan-kesalahan audit yang telah dibangkitkan berdasarkan laporan-laporan audit yang dihadapkan oleh juru audit agung.
“MOD Talk Series ini disasarkan kepada semua peringkat pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya terutama sekali kepada pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat secara langsung dengan pengurusan projek agar mengetahui dan memahami cabaran dan risiko yang dihadapi dalam melaksanakan tugas-tugas mereka.
“Insya-Allah program latihan ini akan terus dilanjutkan pada tahun ini. Itu di antara tindakan-tindakan yang diambil dalam memperbaiki lagi kesediaan kami menghadapi cabaran-cabaran mengenai dengan pengurusan kontrak dan projek berdasarkan kepada tajuk khusus mengenai dengan pematuhan dan integriti,” tambahnya lagi.
Bercakap mengenai perkara tersebut juga, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa dalam mewujudkan masyarakat profesional di dalam industri pembinaan ini dengan kepekaan yang dibangkitkan mengenai dengan integriti dan pematuhan undang-undang dan peraturan-peraturan di dalam industri pembinaan, semestinya ia memerlukan satu komitmen yang kolektif, untuk memperbaiki perkara ini dengan memberikan penerangan kesedaran dan jua latihan kepada pegawai-pegawai pelaksana di Kementerian Pembangunan.
Antara cabaran-cabaran yang dilihat ialah dari segi perhubungan antara kontraktor dan penjawat awam misalnya, kebanyakannya kontraktor tidak mengambil kepekaan kepada penjawat awam.
“Terdapatnya kecenderungan pihak kontraktor memberikan hiburan mungkin sebagai mewujudkan silaturahim dari pihak mereka dengan memberikan hadiah dalam pelbagai bentuk.”
“Kita melihat perkara ini adalah supaya pihak kontraktor akan faham bahawa ada kekangan dan implikasi terhadap pegawai melalui undang-undang tersebut. Oleh itu, pihak sektor industri daripada kontraktor mesti jua faham akan perkara ini,” tekan beliau.