Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan tingkat kerjasama keselamatan

    TOKYO, 7 JUN – Kapal pengawal pantai Jepun, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan menjalankan latihan tiga hala pertama mereka di luar pantai Jepun kelmarin.

    Latihan bersama itu adalah susulan persetujuan pemimpin ketiga-tiga negara pada Ogos lalu untuk meningkatkan kerjasama keselamatan bagi menjaga keamanan dan kestabilan di Indo-Pasifik.

    Kapal peronda dari setiap negara dan dua helikopter menyertai operasi mencari dan menyelamat di perairan luar pantai utara Maizuru di wilayah Kyoto, berdasarkan senario menyelamatkan anak kapal dari kapal Korea Selatan yang terbakar selepas berlanggar dengan bot lain, menurut pengawal pantai Jepun.

    Jepun dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah memperkukuh pertahanannya di barat daya Jepun, termasuk Okinawa dan pulau-pulau luarnya yang dianggap penting secara strategik sebagai tindak balas terhadap ketegangan yang semakin meningkat di sekitar Taiwan.

    Pengawal pantai dari Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan menandatangani perjanjian bulan lalu untuk bekerjasama memelihara sumber maritim, menentang penangkapan ikan secara haram, menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta meningkatkan keupayaan penguatkuasaan undang-undang maritim di rantau ini. – AP

    Kapten Pengawal Pantai Jepun, Masanobu Nakane (kanan), Kapten Pengawal Pantai AS, Tyson Scofield (tengah) dan Pengawal Pantai Korea, Kapten Kim Bum-sik Taepyongyang 16 bergambar di Maizuru, Jepun pada 5 Jun. Latihan tiga hala bersama pertama di luar pantai Jepun bermula kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda