Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Latihan Tabletop Persembahan Simulasi Keselamatan Penerbangan telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), Berakas, hari ini, sebagai sebahagian daripada Program Muzakarah dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN).
Hadir bagi menyaksikan latihan berkenaan ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof dan ahli-ahli MMN.
Turut hadir ialah perwakilan dari Lembaga Pengarah Royal Brunei Airlines Sdn Bhd, pemangku setiausaha tetap serta pemangku timbalan setiausaha tetap (pengangkutan), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Latihan tersebut juga melibatkan demonstrasi penyelamatan dan pemadaman kebakaran, pengurusan kecederaan dan persidangan akhbar.
Latihan sedemikian dalam tindak balas kecemasan yang berkaitan dengan insiden keselamatan adalah penting ke arah memastikan agensi di bawah Kementerian Pengangkutan dan lnfokomunikasi kekal bersedia untuk situasi kecemasan yang tidak diduga.


Antara objektif utama latihan keselamatan penerbangan yang dijalankan di Kelab Rekreasi Diraja Brunei, LTAB itu adalah untuk menunjukkan kesediaan kecemasan dan krisis agensi-agensi seperti Jabatan Penerbangan Awam di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi serta agensi-agensi berkaitan yang lain dan untuk menguji pelan pengurusan kecemasan bagi mengurangkan akibat keadaan kecemasan.
Program berkenaan adalah sebahagian daripada strategi tumpuan Kementerian Pengangkutan dan lnfokomunikasi dalam keselamatan dan kebajikan untuk awam, yang bertujuan memastikan keselamatan kompetensi, keupayaan dan kesiapsiagaan Jabatan Penerbangan Awam dan agensi-agensi berkaitan, yang akan memberikan kredibiliti memastikan keselamatan dan peraturan-peraturan penerbangan di Brunei Darussalam.
Selepas menyaksikan latihan keselamatan penerbangan tabletop yang disimulasikan dalam situasi kemalangan udara, ahli-ahli MMN kemudian dibawa ke tapak kemalangan di mana mereka memerhatikan simulasi secara langsung keadaan kemalangan dengan demonstrasi prosedur menyelamat dan memadam kebakaran dan pengurusan mangsa oleh responden di tempat kejadian.
Mereka juga ditunjukkan bagaimana sidang akhbar diadakan dengan anggota keselamatan mengambil peranan sebagai pengamal media yang mengemukakan beberapa soalan. Acara berkenaan merupakan program muzakarah kedua yang diadakan oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dengan ahli-ahli MMN.
Program Muzakarah sebelumnya yang dijalankan pada 21 November lalu yang melibatkan Latihan Keselamatan Maritim yang menguji kesiapsiagaan krisis dan komunikasi Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), yang menyaksikan MV Shuttle Hope, sebuah kapal yang berlepas dari Terminal Feri Serasa ke Wilayah Persekutuan Labuan, mengalami kegagalan enjin akibat kebakaran.
Latihan simulasi di LTAB melibatkan pesawat dengan enjin yang didakwa terbakar apabila mendarat. Latihan tersebut cuba menunjukkan usaha yang diselaraskan antara semua pihak yang berkepentingan dengan segera dan kesediaan bagi mengoptimumkan masa tindak balas untuk mengurangkan kejadian kecemasan di lapangan terbang. Agensi-agensi yang terlibat dalam latihan keselamatan berkenaan termasuklah Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Kementerian Kesihatan, dan pihak berkepentingan daripada kerajaan, syarikat penerbangan dan lapangan terbang.