Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Seramai 15 peserta menyertai Program Latihan Kecemerlangan Perkhidmatan Pelanggan bagi Industri Hospitaliti dan Pelancongan yang diadakan selama tiga hari bermula 8 hingga 10 Julai.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan, di sini, menyatakan program latihan selama tiga hari berkenaan disertai oleh peserta-peserta khususnya barisan hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di bawah kendalian Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama SEAMEO Regional Centre for Vocational and Technical Education and Training (SEAMEO VOCTECH).
Latihan tersebut merupakan salah satu inisiatif Jabatan Kemajuan Pelancongan ke arah meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan dengan menerapkan nilai-nilai Islam dan sekali gus mempromosikan pelancongan Islam sebagai salah satu ciri jualan unik bagi membezakan industri pelancongan Negara Brunei Darussalam dari destinasi lain di rantau ini.
Kempen MESRA yang membawa maksud Muhibah, Etika, Senyum, Ramah dan Adil telah dilancarkan pada 2022 bagi mempromosikan dan memastikan penerapan nilai-nilai Islam dalam perkhidmatan pelanggan di kalangan petugas barisan hadapan selaras dengan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB).
Melalui latihan tersebut, ia akan dapat membantu menyediakan para peserta dalam meneroka asas-asas perkhidmatan pelanggan dalam konteks perkhidmatan mengikut prinsip dan garis panduan Islam serta mengasah kemahiran, pengetahuan dan sikap kemahiran berasaskan penyampaian perkhidmatan di kalangan peserta.
Latihan berkenaan adalah penting bagi memastikan barisan hadapan dalam industri pelancongan mempunyai kemahiran dan pengetahuan dalam memberi perkhidmatan kepada pelancong-pelancong mengikut garis panduan Islam serta menyerapkan sifat-sifat keBruneian yang ramah dan bersopan santun.
Jabatan Kemajuan Pelancongan komited untuk meningkatkan kualiti profesional perkhidmatan hospitaliti dan pelancongan di Negara Brunei Darussalam dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang cemerlang dan pengalaman yang luar biasa kepada semua pengunjung.
