Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Latihan uji keupayaan tindak balas kecemasan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 NOV – Bagi menilai kesediaan dan keberkesanan keupayaan tindak balas kecemasan selaras dengan piawaian antarabangsa, Hengyi Industries dengan kerjasama Pusat Pengurusan Bencana Negara (NDMC) dan pelbagai agensi kerajaan telah menjalankan Latihan Industri Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Tahap 3, hari ini.

    Hadir bagi menyaksikan latihan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Hengyi Industries, latihan yang dikenali sebagai Latihan Naga-7 merupakan latihan susulan daripada Latihan Table Top Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Tahap 3 Hengyi Industries yang diadakan pada Januari 2021.

    Latihan yang berlangsung dalam masa tiga jam, bermula dari pukul 9 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah hari itu telah menyaksikan senario latihan kecemasan dengan melibatkan simulasi kebocoran gas, yang disebabkan oleh saluran paip pecah di Unit Kompleks Aromatik, yang mensimulasikan kecederaan kepada kakitangan di lokasi.

    Dalam latihan itu, barisan pertama responden kecemasan, On Scene Commander Team (OSCT), Emergency Coordination Team (ECT) dan Crisis Management Team (CMT) syarikat itu telah diaktifkan untuk melakukan pemindahan dengan penempatan kecemasan skala penuh responden kecemasan dari pelbagai agensi.

    Latihan tersebut melibatkan kira-kira 200 kakitangan dari 15 agensi dan peserta-peserta yang terlibat termasuk wakil dari Jabatan Tenaga di JPM; Autoriti Petroleum Brunei Darussalam; NDMC; Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA); Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS).

    Turut terlibat, Pasukan Polis Diraja Brunei; Pejabat Daerah Brunei dan Muara; Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi; Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan; Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Negara Brunei Darussalam; Jabatan Penerangan; Darussalam Enterprise (DARe); dan Damai Holdings Limited.

    Turut hadir menyaksikan latihan tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri (Tenaga) di JPM, Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd Hanifah; Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut; dan Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga) di JPM, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra.

    Antara senario tindak balas kecemasan keselamatan yang dijalankan semasa latihan tersebut. – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin hadir bagi menyaksikan latihan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    Antara yang terlibat dalam Latihan Industri Tindak Balas Kecemasan Keselamatan Tahap 3 di Hengyi Industries. – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES
    Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan turut terlibat dalam latihan tersebut. – GAMBAR SERAHAN HENGYI INDUSTRIES

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda