Wednesday, March 26, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laungan azan di Masjid Nabawi bergema sejak 1,400 tahun

    MADINAH, 24 MAC – Selama lebih 14 abad, laungan azan terus berkumandang dari perkarangan suci Masjid Nabawi di Madinah – satu tradisi yang mempunyai makna spiritual mendalam bagi umat Islam di seluruh dunia, termasuk ramai dari Malaysia yang menziarahi kota suci itu setiap tahun.

    Menurut agensi berita Saudi (SPA), azan pertama kali dilaungkan oleh Bilal bin Rabah, muazin pertama Islam, pada zaman Nabi Muhammad SAW.

    Pada peringkat awal, umat Islam berkumpul untuk solat tanpa seruan rasmi. Pengenalan azan berlaku selepas sahabat Abdullah bin Zayd Al-Khazraji dan Umar bin Al-Khattab mengalami mimpi mengenai kaedah menyeru umat Islam untuk solat.

    Setelah mengesahkan mimpi berkenaan, Nabi Muhammad SAW mengarahkan Bilal – yang terkenal dengan suaranya yang merdu – untuk melaungkan azan.

    Amalan ini berterusan hingga ke hari ini. Pada masa kini, seramai 20 muazin bergilir-gilir melaungkan azan dan iqamah serta mengulangi doa imam, dengan suara mereka disiarkan melalui sistem bunyi canggih ke seluruh masjid.

    Jemaah berbuka puasa di Al-Masjid an-Nabawi (Masjid Nabawi) di kota suci Arab Saudi, Madinah, pada 4 April 2024. – AFP

    Azan Madinah terkenal dengan irama dan getaran spiritualnya yang tersendiri, membawa ketenangan mendalam kepada para jemaah.

    Menurut penyelidik Dr Fouad Al-Maghamsi, azan dahulu dilaungkan secara berperingkat dari lima menara masjid: menara utama bersebelahan Kubah Hijau, diikuti Bab Al-Salam, Bab Al-Rahmah (atau Ar-Rahmaniyah), Shakiliyah, dan Sulaymaniyah.

    Pendekatan itu bertujuan untuk memaksimumkan capaian seruan sebelum penciptaan pembesar suara.

    Pada awal 1400 Hijrah, sistem itu berubah kepada siaran berpusat. Kini, seorang muazin akan melaungkan azan melalui pembesar suara utama yang terletak di ruang terbuka dan tinggi, menghadap Al-Rawdah Al-Sharifah dan mihrab, kira-kira lima meter dari Mimbar Nabi.

    Presiden Hal Ehwal Agama Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bertanggungjawab menyelia penyediaan serta ujian pembesar suara sebelum setiap waktu solat. Azan dikumandangkan dengan jelas dan penuh penghormatan menggunakan sistem audio berdefinisi tinggi, mengekalkan keagungan tradisi Islam yang berterusan ini. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda