Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi, Salawati Haji Yahya & Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN/BELAIT, 21 SEPT – Laungan dikir terus menyemarakkan malam-malam menjelang hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW dengan pelbagai pihak mengadakan majlis dikir di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), hari ini, telah meneruskan lagi majlis dikir ke Daerah Belait yang berlangsung di Masjid Kampung Sungai Teraban.
Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan.
Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, serta pegawai kanan dan kakitangan KHEDN.
Kementerian Pendidikan melalui Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Jabatan Pengurusan Pendidik adalah antara yang telah mengadakan majlis dikir di Masjid Ar-Rahim, Bukit Panggal, Tutong, kelmarin.





Hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan serta ahli-ahli takmir masjid.
Rombongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) pula meneruskan lagi Majlis Ihya Maulidur Rasul di Masjid Kampung Belais, Daerah Temburong, kelmarin.
Mengetuai rombongan ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh.
Sementara itu, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Pengupayaan Mualaf) pula mengungkayahkan rombongan berdikir bersama mualaf di kawasan pedalaman di Balai Ibadat Kampung Sibut, Daerah Temburong, kelmarin.
Hadir selaku ketua rombongan ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh.
Majlis juga diserikan lagi dengan tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong, Dayang Nurul Ain bin Mohd Rezuan.
Manakala itu, Jawatankuasa Takmir Masjid Ar-Rahman, Kampung Tanjung Bunut pula meneruskan lagi Majlis Dikir Syarafil Anam bagi malam kelima di masjid berkenaan, kelmarin.
Turut hadir menyemarakkan lagi majlis dikir berkenaan ialah wakil jemputan dari Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri serta ahli-ahli Takmir Masjid Ar-Rahman, Majlis Perundingan Kampung Tanjung Bunut dan belia masjid.

