Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Bersempena dengan sambutan hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang jatuh pada 12 Rabiulawal tahun Hijrah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan jabatan-jabatan di bawahnya meraikannya dengan mengadakan acara keagamaan bagi menyemarakkan lagi sambutan Maulidur Rasul tersebut.
Sehubungan itu, malam tadi JPM dan jabatan-jabatan di bawahnya telah memulakan acara dikir Maulidur Rasul dengan mengadakan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam bermula malam tadi di Jame ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Hadir bagi sama-sama menyemarakkan Majlis Pembukaan Dikir Syarafil Anam tersebut ialah Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud. Turut hadir pada majlis tersebut ialah setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan JPM serta jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis Pembukaan Dikir Maulud malam tadi dimulakan dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah dan diikuti dengan sembahyang sunat berjemaah sebelum diteruskan dengan bacaan dikir yang dipimpin oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti.
Majlis tersebut diakhiri dengan bacaan Dikir Marhaban selepas sahaja selesai menunaikan sembahyang Fardu Isyak berjemaah dan diikuti dengan Doa Selamat.
