Laungan dikir terus bergema

Oleh Yusrin Junaidi & Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Laungan Dikir Maulud terus menyemarakkan malam-malam terakhir menjelang 12 Rabiulawal apabila umat Islam memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.

Setelah berkunjung ke beberapa buah masjid di seluruh negara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menutup majlis dikir di Masjid Ar Rahman, Kampung Tanjung Bunut, malam ini.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

Turut hadir ialah para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan di KHEDN, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung serta para penduduk sekitar.

Sementara itu, rombongan Kementerian Kesihatan yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pula telah mengadakan majlis dikir di Masjid Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Abdul Manap bin Othman; Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Haji Zulaidi bin Haji Abd Latif; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar & Pengurusan); Haji Maswadi bin Haji Mohsin, para pegawai kanan, kakitangan dan Kumpulan Berdikir Kementerian Kesihatan.

Majlis dikir berkenaan turut diserikan dengan kuliah bertajuk ‘Tantangan hebat oleh Musuh Rasulullah’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid UBD, Haji Jufri bin Haji
Hidup.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar hadir pada majlis penutup dikir KHEDN di Masjid Ar Rahman. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham mengetuai rombongan Kementerian Kesihatan pada majlis dikir di Masjid UBD.
Antara yang hadir pada majlis dikir di Masjid UBD.