Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laungan takbir Aidiladha bergema

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Laungan takbir Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1444H Hijrah bergema di kesemua masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara malam ini, dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.

    Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, pengarah-pengarah, para pegawai kanan dan kakitangan di bawah KHEU serta penduduk yang tinggal di sekitarnya.

    Laungan takbir dipimpin oleh Kumpulan Belia Masjid, para pegawai dan kakitangan dari Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan juga para penuntut Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah serta pelajar-pelajar Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR).

    Majlis takbir itu adalah bagi menghidupkan malam Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 10 Zulhijah 1444H.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir pada majlis takbir di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Gambar oleh Muiz Matdani
    Para jemputan yang menghadiri majlis tersebut. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Menurut kenyataan KHEU, sunat melaungkan takbir dengan suara yang jahr (nyaring), sama ada di rumah, masjid, pasar atau di mana jua pada malam Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha selepas terbenamnya matahari sehingga imam mengangkat takbiratulihram sembahyang Hari Raya.

    Takbir ini dinamakan Mursal dan Mutlaq iaitu takbir yang tidak terikat selepas sembahyang dan dilaungkan pada bila-bila masa sahaja.

    Sementara Takbir Muqayyad ialah takbir yang terikat dan dilaungkan sebaik sahaja selesai sembahyang fardu, sunat, tunai atau qada.

    Takbir Muqayyad ini khusus bagi Hari Raya Aidiladha dan bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Bermula takbir tersebut adalah pada subuh hari Arafah sehinggalah Asar di akhir hari tasyrik.

    Acara melaungkan takbir bagi kedua-dua hari raya di negara ini bukanlah suatu yang baharu malahan telah pun dipraktikkan di negara ini sejak berabad lama dahulu dan ianya merupakan satu syiar dalam usaha melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di samping memberikan kesedaran kepada kita untuk mengamalkan suruhan Allah SWT dan menjauhi laranganNya.

    Di samping itu, ia juga adalah untuk menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan masyarakat yang bertakwa serta memberikan kesedaran kepada masyarakat dalam menghayati makna kandungan takbir Hari Raya.

    Dengan adanya majlis itu, ia akan dapat memupuk semangat para jemaah yang hadir dalam hidup berkumpulan dan mengeratkan silaturahim, mendekatkan diri dengan masjid dan mencintai masjid, sekali gus berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda