Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JUN – Laungan takbir Hari Raya Aidiladha bergema bagi tahun 1446H di semua masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara dengan tumpuan utama di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, malam ini.
Hadir menyemarakkan majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; serta pegawai-pegawai kanan kementerian termasuk timbalan setiausaha tetap, pengarah-pengarah dan para kakitangan KHEU.
Majlis turut diserikan dengan tadabbur khas bertajuk Ibrah di Sebalik Melontar yang disampaikan oleh Haji Muskrisman Safari bin Haji Mustapha dari Pusat Dakwah Islamiah.
Laungan takbir dipimpin oleh Pegawai Masjid Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan para pegawai dan kakitangan KHEU bersama-sama anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kumpulan belia masjid dari beberapa masjid terpilih serta para peserta Skim Tilawah Al-Quran Remaja (STAR).
Acara tahunan ini telah menjadi syiar Islam sejak berabad lamanya di negara ini, sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT dan seruan untuk terus mengamalkan perintahNya serta menjauhi laranganNya.
Majlis sedemikian juga menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam melahirkan masyarakat bertakwa, memperkukuh semangat berjemaah, mengeratkan silaturahim serta menyemai kecintaan terhadap rumah Allah SWT demi agama, bangsa dan negara.
Majlis Takbir Sempena Hari Raya Aidiladha dikendalikan oleh KHEU melalui Bahagian Imarah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama ahli Jawatankuasa Takmir Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Laungan takbir yang dikenali sebagai Takbir Mursal dan Takbir Mutlaq, dilaungkan secara jahr (nyaring) selepas terbenam matahari hingga sebelum Takbiratul Ihram solat sunat Hari Raya. Takbir ini tidak terikat dengan waktu solat dan boleh dilaungkan pada bila-bila masa. Sementara itu, Takbir Muqayyad pula dilaungkan selepas solat fardu dan khusus bagi Hari Raya Aidiladha, bagi mereka yang tidak mengerjakan ibadah haji.





