Thursday, May 8, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laungan takbir meriahkan Aidilfitri

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 APRIL – Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadan, kemeriahan 1 Syawal mula terasa dengan laungan takbir berkumandang di masjid-masjid, rumah persendirian dan di kaca-kaca televisyen, begitu juga di corong-corong radio.

    Secara tradisi, kedatangan bulan Syawal akan disambut dengan bermain mercun atau bunga api, akan tetapi ini bukanlah cara yang dianjurkan dalam agama Islam, dan bukan cara memuliakan kedatangan hari yang mulia berkenaan.

    Apatah lagi perbuatan ini juga boleh menjurus kepada bahaya dan pembaziran yang dicela oleh Islam. Islam mempunyai caranya yang tersendiri semasa merayakan hari-hari kebesarannya.

    Kedatangan bulan Syawal seharusnya disambut dengan meraikannya dengan melaungkan takbir. Ini kerana dengan bertakbir, kurniaan Hari Raya Aidilfitri akan dapat dirasai dan dihayati sehingga melahirkan rasa kesyukuran atas kebesaran serta keagungan Allah SWT, sesuai dengan maksud takbir iaitu mengagungkan Allah SWT dengan melafazkan kalimah Allahu Akbar.

    Kita umat Islam seharusnya sedar bahawa Hari Raya Aidilfitri adalah kurnia daripada Allah SWT sebagai hadiah kemenangan kepada umat Islam, kerana kita telah berjaya melaksanakan ibadah puasa dengan menahan diri daripada hawa nafsu dan perkara-perkara yang dilarang ketika berpuasa.

    Antara jemaah yang hadir untuk meraikan kedatangan 1 Syawal dengan laungan takbir secara beramai-ramai di salah sebuah masjid di negara ini. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Suasana Aidilfitri dimeriahkan dengan laungan takbir kerana ia adalah satu ibadat dan syiar sebagai tanda syukur kepada Allah SWT.

    Waktu melaungkan takbir

    Takbir pada Hari Raya Aidilfitri dinamakan sebagai Takbir Mursal atau mutlak iaitu takbir yang tidak terikat waktunya selepas sembahyang bahkan sunat dilaungkan pada bila-bila masa sahaja sehinggalah imam mengangkat takbiratulihram untuk menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya Aidilfitri.

    Takbir Hari Raya Aidilfitri ini berbeza dengan takbir Hari Raya Aidiladha. Takbir pada Hari Raya Aidiladha dinamakan Takbir Muqayyad, dan ia sunat dilaungkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang fardu atau sunat dan berterusan sehingga selesai menunaikan solat Asar pada hari tasyrik yang terakhir.

    Imam Ibnu Hajar Rahimahullahu, salah seorang daripada ulama asy-Syafi’yah berkata, sunat melaungkan takbir (Hari Raya Aidilfitri) sama ada di rumah-rumah, jalan-jalan, masjid dan pasar dengan suara jahar atau nyaring, bermula dari terbenam matahari pada malam Hari Raya dan berterusan sehingga imam mengangkat takbiratulihram pada sembahyang Hari Raya. Ini kerana takbir itu adalah sebagai syiar bagi menandakan waktu Aidilfitri itu telah tiba maka adalah lebih awal dikerjakan atau disambut dengan takbir.

    Melaungkan takbir dengan suara jahar adalah disunatkan bagi kaum lelaki sahaja, dan bagi perempuan atau khunsa, tidak disunatkan melaungkannya dengan suara jahar ketika ada orang lain yang bukan mahram hadir bersama mereka.

    Manakala had waktu bertakbir bagi orang yang sembahyang sunat Hari Raya secara bersendirian pula dikira sehingga dia mengangkat takbir sembahyang Hari Raya Aidilfiri.

    Menurut asy-Syabramallisiy Rahimahullah, apabila bertepatan malam Hari Raya itu dengan malam Jumaat, maka hidupkanlah pada malam tersebut dengan bertakbir, membaca Surah al-Kahfi dan bersalawat ke atas Nabi SAW.

    Dengan bertakbir itu sudah cukup membuktikan bahawa Hari Raya Aidilfitri bukan hari untuk kita berpesta bahkan ia adalah untuk kita beribadat dengan melafazkan rasa syukur atas anugerah Allah SWT melalui takbir dan ibadat-ibadat lain yang kita lakukan.

    Dengan ini juga membuktikan bahawa Hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan Hari Raya orang bukan Islam, apatah lagi ia disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau orang bukan Islam berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya.

    Oleh itu, meriahkanlah suasana Aidilfitri itu dengan melaungkan takbir kerana ia adalah satu ibadat dan syiar sebagai melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda