Sunday, April 27, 2025
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laut Kaspia diancam pencemaran

    ANJING laut yang berjalan terkedek-kedek di sepanjang kawasan dermaga pernah menjadi pemandangan biasa di Teluk Baku, Laut Kaspia yang terletaknya ibu negara Azerbaijan.

    Namun kini ia telah berubah. Daripada lebih sejuta ekor anjing laut yang mendiami pesisir-pesisir dan pulau-pulau Kaspia seabad lalu, kini hanya tinggal kurang daripada 10 peratus sahaja dan spesies-spesies ini diisytiharkan terancam.

    Azer Garayev, ketua Persatuan Azerbaijan bagi Perlindungan Haiwan-haiwan, berkata anjing laut berdepan dengan ancaman kepupusan selama berdekad-dekad lamanya kerana pemburuan berlebih-lebihan dan kesan pencemaran industri.

    Pada tahun 2003, kumpulannya telah menemukan 750 bangkai anjing laut dalam tempoh hanya sebulan. “Itu bukan sesuatu yang normal,” tetapi tidak sesiapa pun mengkaji isu ini, menurut aktivis berusia 57 tahun itu. “Anjing laut adalah tanda semua masalah besar persekitaran di Kaspia.” Bersempadan dengan Azerbaijan, Iran, Kazakhstan, Rusia dan Turkmenistan, Kaspia adalah pusat air pedalaman terbesar di dunia, dengan keluasan kira-kira saiz negara Jepun.

    Selain anjing laut dan spesies-spesies endemik lain termasuklah penyu Kaspia dan ikan Strugeon Beluga, laut ini juga memiliki simpanan tenaga yang besar dengan anggarkan 50 bilion tong minyak dan 300,000 bilion meter padu gas asli. Pencemaran daripada pengekstrakan minyak dan gas, berserta dengan paras air yang semakin menyusut disebabkan perubahan iklim telah mengancam banyak spesies dan masa depan laut itu sendiri berdepan dengan risiko.

    Laut Kaspia pernah menjadi tempat tinggal salah satu spesies terbesar ikan sturgeon di dunia, namun ia berkurangan dengan lebih 90 peratus dalam tempoh tiga generasi lalu. – AFP
    Salah seorang penduduk melakukan aktiviti memancing di pesisir laut tersebut. – AFP

    Kajian yang dilakukan oleh Akademi Sains Azerbaijan baru-baru ini menganggarkan bahawa paras laut menurun dengan lebih enam sentimeter setiap tahun. – AFP

    Minyak dan air

    Program Persekitaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa Kaspia ‘terjejas akibat bebanan besar pencemaran daripada pengekstrakan dan penapisan minyak, padang minyak luar pesisir, sisa-sisa radioaktif dari loji tenaga nuklear dan isi padu besar kumbahan yang tidak dirawat serta sisa perindustrian yang diperkenalkan terutamanya oleh Sungai Volga.’

    Beberapa kilometer dari pusat bandar, Baku, nelayan-nelayan di sepanjang tepi pantai melihat titisan kecil minyak muncul pada permukaan laut dan merebak dalam pelbagai jenis warna. “Sebilangan ikan nampaknya suka pada air yang tercemar, dengan itu ia cenderung berkumpul di sini,” ujar Rashad, 26 tahun. “Air kotor,” ujarnya, sambil memperlihatkan beg plastik yang tersangkut pada mata kail.

    Selain daripada nelayan-nelayan seperti Rashad, keseluruhan industri kaviar berdepan dengan risiko bahaya akibat pencemaran ini. Laut Kaspia pernah menjadi tempat tinggal salah satu spesies terbesar ikan sturgeon di dunia, namun ia berkurangan dengan lebih 90 peratus dalam tempoh tiga generasi lalu, menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia pada tahun 2016.

    “Saya ingat apabila kaviar berharga 10 manat Azerbaijan sekilogram atau kira-kira AS$6,” menurut pencinta alam sekitar Garayev. “Hari ini ia berharga lebih 1,500 manat dan hampir tidak ada lagi yang berbaki. Boleh dikatakan tidak ada spesies sturgeon yang berdaya hidup hari ini.”

    Aligaidar Mammedov, bekas ahli hidrogeologi dan nelayan yang menjadi aktivis berkata kaedah cari gali minyak membawa kepada sama ada pembunuhan atau menghalau sturgeon. “Ia menyebabkan ledakan seismos dalam laut,” ujarnya lagi menambah, “Akibatnya dasar laut musnah dan sturgeon adalah ikan dasar laut.”

    Mammedov juga memberi amaran tentang potensi tumpahan minyak, yang akan lebih lagi mencemarkan laut pedalaman daripada pencemaran di lautan. Syarikat minyak yang dikenali kerajaan Azerbaijan, SOCAR berkata mereka mengambil inisiatif membersihkan kebanyakan kawasan luas berhampiran Baku yang selalunya tercemar dengan minyak kotor. “Cabaran persekitaran terutamanya muncul ketika era Soviet, apabila negara tidak begitu menjaga persekitarannya dan teknologi tidak memuaskan,” menurut jurucakap SOCAR, Ibrahim Ahmadov.

    Nasib seperti Laut Aral?

    Meskipun pencemaran daripada industri minyak berkurangan, tetapi Kaspia masih berdepan dengan faktor kemusnahan, sejak pemanasan sejagat yang mengakibatkannya kehilangan air. Kajian baru-baru ini oleh Akademi Sains Azerbaijan, menganggarkan bahawa paras laut menurun dengan lebih enam sentimeter setiap tahun.

    “Perubahan iklim di sepanjang lembangan Laut Kaspia mengakibatkan penyejatan sangat pantas,” kata Elnur Safarov, seorang ahli sains marin Azerbaijan dan salah seorang pengarang kajian itu. “Lima negara yang bersempadan dengan Kaspia, ekonomi dan kehidupan mereka bergantung padanya sepenuhnya, perikanan, industri minyak, pertanian, perhubungan,” ujarnya.

    “Apabila paras laut berubah, situasi sosial dan ekonomi keseluruhan garisan pantai berubah.”

    Pada tahun 2018, negara-negara Laut Kaspia telah menandatangani perjanjian yang mentakrifkan status laut itu, yang kekurangan rangka undang-undang antarabangsa sejak kejatuhan Soviet Union. Perjanjian itu terutamanya mengawal penggunaan ketenteraan, pengekstrakan gas dan minyak dan penghasilan kaviar. Tetapi aktivis-aktivis setakat ini masih kecewa kerana isu-isu persekitaran tidak dibangkitkan.

    Mereka bimbang Kaspia mungkin mengalami nasib sama seperti Laut Aral di Asia Tengah dalam apa yang digelar sebagai kemusnahan persekitaran terbesar di dunia. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda