Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Laut NZ alami kepanasan lebih cepat daripada purata global

    WELLINGTON, 8 OKT- Laut di sekitar New Zealand (NZ) semakin panas lebih cepat daripada purata global, kata saintis hari ini dalam satu kajian baharu yang memberi amaran bagaimana perubahan iklim boleh melanda negara NZ.

    Kajian kerajaan mendapati lautan NZ semakin panas, bertukar menjadi lebih berasid dan mengancam beribu-ribu rumah di tepi pantai apabila paras laut meningkat.

    Perairan yang melanda NZ kini mengalamai kepanasan 34 peratus lebih cepat daripada purata global, menurut laporan Our Marine Environment.

    “Perubahan iklim mendorong perubahan yang ketara di lautan ini,” kata laporan itu. “Suhu laut semakin meningkat dan gelombang haba marin menjadi lebih kerap, pada tahap yang tinggi dan tempoh lebih lama. Paras laut juga naik semakin pantas di banyak lokasi.”

    Penyelidik telah mengaitkan pemanasan global dengan gangguan dalam arus lautan yang luas di sekitar NZ dan Antartika.

    Kedudukan NZ yang dekat dengan arus tersebut berserta perubahan lain dalam peredaran atmosfera menjadi sebab mengapa laut menjadi panas dengan begitu cepat.

    Penasihat marin Jabatan Pemuliharaan, Shane Geange berkata laporan itu menunjukkan bagaimana, “perubahan iklim menjadikan masalah yang sedia wujud di lautan NZ lebih teruk”.

    “Ini bermakna kita melihat gelombang haba marin yang lebih kerap dan teruk. Paras laut (semakin) meningkat dengan lebih cepat, dan lautan kita menjadi lebih berasid dan kehilangan oksigen,” tambahnya.

    Suhu permukaan laut di empat kawasan sekitar NZ meningkat, secara purata, antara 0.16C dan 0.26C setiap dekad antara 1982 dan 2023.

    Banyak spesies hidupan sukat menyesuaikan diri dengan kehidupan lautan yang lebih panas dan lebih berasid dan berisiko ditakluki oleh perosak invasif, menurut kajian.

    Suhu laut yang lebih panas daripada biasa sebelum ini dikaitkan dengan kematian penguin bermata kuning asli New Zealand.

    “Disebabkan penemuan ini, cara kami menguruskan persekitaran marin New Zealand perlu berubah,” kata Geange. “Kami kini ada bukti yang cukup untuk mengambil tindakan dan jika tangguhkan risiko seterusnya boleh mudaratkan ekosistem marin kami.”

    Lebih 200,000 rumah bernilai AS$100 bilion di kawasan tepian pantai boleh tenggelam dan hadapi banjir berikutan paras air laut yang semakin meningkat tersebut. – AFP 

    Sekitar pemandangan di Wellington, NZ. Kenaikan paras laut mengancam rumah tepian pantai NZ. – Gambar fail Pixabay.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda