Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Laut tanpa batasan’ pukau pelancong Vietnam

    HANOI – Digelar sebagai ‘laut tanpa batasan’, Pantai Quang Lang di wilayah utara Thai Binh baru-baru ini telah menjadi tarikan baharu bagi kebanyakan pelancong tempatan.

    Di pantai berkenaan, di mana pemandangan terbentang sejauh mata memandang, membolehkan gambar pemandangan laut yang menakjubkan terbentuk apabila air surut dan permukaan air mencerminkan langit.

    Quang Lang, kira-kira 120km dari tengah Ha Noi, terletak di Daerah Thai Thuy, di muara Sungai Diem Ho, anak sungai kecil Sungai Merah.

    Pantai berpasir coklat yang rata ini terbentang seperti cermin gergasi yang memantulkan pemandangan laut dan langit, menghasilkan kesan yang indah dan jelas.

    “Saya tinggal di Daerah Quynh Phu kira-kira 20km dari Quang Lang. Saya mendengar bahawa pantai itu sangat cantik pada waktu pagi, jadi saya dan beberapa rakan melawatnya baru-baru ini. Kami mengembara dengan motosikal, memulakan perjalanan seawal pagi dan tiba sekitar jam 4 pagi,” kata Le Minh Tuan kepada Viet Nam News.

    Di bawah cahaya matahari keemasan yang berkilauan, imej nelayan kelihatan indah dan dekat. – Foto ictvietnam.vn
    Pantai Quang Lang dianggap sebagai ‘laut tanpa batasan’. – Foto suckhoedoisong.vn
    Seorang lelaki menggunakan alat memancing tradisional untuk menangkap udang dan ikan kecil di laut Quang Lang. – Foto vietnamnet.vn
    Pantai Quang Lang baru-baru ini telah menjadi destinasi baharu yang menarik ramai pelancong domestik. – Foto VNS Le Minh Tuan
    Seorang wanita menangkap siput. – Foto vietnamnet.vn

    Setibanya di tempat itu, kumpulan Tuan mengikuti beberapa nelayan yang berjalan melalui hutan bakau menuju pantai berpasir.

    Selain daripada golongan muda, banyak pasangan memilih kawasan tersebut sebagai tempat yang unik dan romantis untuk gambar perkahwinan.

    Truong Dinh Minh dari Hanoi berkata dia sedang melayari internet apabila dia melihat orang ramai memuat naik rakaman laut Quang Lang yang cantik, jadi dia memutuskan untuk pergi ke Thai Binh pada waktu malam untuk menyaksikan pemandangan indah itu pada waktu subuh.

    Kumpulan Minh yang terdiri daripada lima orang muda itu bertolak dari Ha Noi dengan menaiki kereta pada pukul 10:30 malam dan apabila mereka tiba, mereka berehat di dalam kereta selama satu atau dua jam. Sekitar jam 3 pagi, kumpulan itu mula berjalan ke pantai.

    “Laluan itu agak licin, dan awda perlu memakai sepasang but untuk melaluinya, malah tongkat dan lampu suluh diperlukan untuk menerangi jalan,” kata Minh.

    Apabila melawat pantai Quang Lang, pelawat harus memberi perhatian kepada laporan kaji cuaca terlebih dahulu bagi mengelakkan air pasang, katanya.

    Le Thanh Ha, seorang arkitek tempatan, berkata dia telah pergi ke Pantai Quang Lang pada banyak waktu yang berbeza dalam setahun. Dia mendapati bahawa warna fajar pada setiap musim mempunyai daya tarikan yang tersendiri.

    Pada musim panas, sinaran matahari berwarna keemasan, dan angin dari laut bertiup membentuk ombak kecil yang mengikuti satu sama lain.

    Pada musim luruh, fajar di laut ini membawa keindahan warna merah jambu dan ungu yang kabur, mewujudkan perasaan hangat yang aneh.

    Pada musim sejuk, pantai ini mempunyai keindahannya yang tersendiri, tetapi cuacanya terlalu sejuk dan tidak sesuai untuk bersiar-siar dan mengambil gambar bagi sesiapa pun kecuali pelancong yang paling tegar.

    Dia berkata, waktu terbaik untuk melawat ialah pada hari yang mempunyai sedikit awan dan angin yang bertiup sepoi-sepoi.

    Pantai yang cantik ini belum mempunyai perkhidmatan pelancongan, tetapi pengunjung boleh belajar dan mengambil bahagian dalam aktiviti memancing pantai bersama penduduk tempatan.

    Di bawah cahaya matahari keemasan yang berkilauan, imej nelayan nampak mempesonakan, dengan keindahan pantai desa yang sukar untuk dipercayai.

    Sejak awal pagi, penduduk tempatan pergi ke pantai untuk menangkap siput. Mereka menggunakan peralatan ringkas seperti cangkuk besi kecil untuk menangkapnya. Mereka juga menggunakan peralatan memancing tradisional yang diperbuat daripada dua batang buluh panjang dan jaring untuk menangkap udang serta ikan kecil berhampiran pantai.

    Di kawasan perairan yang lebih dalam, orang ramai berjalan di atas tiang untuk menarik jala, menghasilkan gambaran yang jelas dan luar biasa.

    Pelancong boleh melawat pelabuhan nelayan Quang Lang atau pasar basah tempatan untuk membeli makanan laut segar. Apabila lapar, mereka boleh menikmati hidangan lazat di restoran di Bandar Diem Dien yang berdekatan.

    Memandangkan Quang Lang belum menarik begitu ramai pengembara, ia merupakan tempat yang sesuai untuk melarikan diri dari kesibukan kehidupan bandar dan menikmati pemandangan yang sensasi. – ANN/Vietnam News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda