Saturday, September 23, 2023
30 C
Brunei

    -

    Lavoie ambil alih VanMoof

    THE HAGUE, 1 SEPTEMBER – Pengeluar skuter elektrik Britain, Lavoie mengumumkan semalam bahawa ia akan mengambil alih pembuat e-basikal Belanda, VanMoof yang diisytiharkan muflis pada Julai lalu.

    Lavoie, anak syarikat firma teknologi sukan permotoran McLaren Applied, berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah memuktamadkan perjanjian untuk memperoleh VanMoof, yang popularitinya memberikannya gelaran ‘Tesla e-bike,’ tanpa menyatakan kos pengambilalihan itu.

    “VanMoof mempunyai 190,000 pelanggan di seluruh dunia dan komitmen kami adalah untuk terus mengekalkan penunggang tersebut di jalan raya,” kata Eliott Wertheimer, Ketua Pegawai Eksekutif bersama Lavoie, dalam satu kenyataan.

    Firma itu merancang untuk “menstabilkan dan mengembangkan perniagaan VanMoof dengan cekap dan terus membangunkan produk bertaraf dunianya,” tambahnya.

    Perjanjian itu “membantu kami untuk mempercepatkan pertumbuhan global”, kata Nick Fry, presiden McLaren Applied.

    Basikal VanMoof, yang dijual di 20 negara, terkenal dengan reka bentuk yang anggun dan ringkas dengan bateri tersembunyi di dalam bingkai.

    VanMoof telah mengumpul AS$128 juta pada September 2021 dalam usaha untuk berkembang ketika ia dalam usaha untuk memperluaskan perniagaannya dalam sektor e-basikal selepas wabak COVID mendorong orang ramai mencari cara pengangkutan alternatif.

    Tetapi ia bergelut sejak itu, kerugian hampir AS$90 juta pada 2021 dan angka yang sama tahun lalu, dengan media Belanda mengatakan ia dibelenggu oleh publisiti buruk kerana basikalnya sering kali rosak dan pembaikan mengambil masa terlalu lama.

    McLaren Applied adalah sebahagian daripada Kumpulan McLaren selama 20 tahun tetapi kini berada di bawah pemilikan berbeza. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Lebih 30,000 orang dibawa ke hospital akibat strok haba

    TOKYO, 22 SEPT – Jepun pada Ogos menyaksikan sejumlah 34,835 individu dibawa ke hospital di seluruh negara dengan gejala strok haba, ketika negara itu...