COPENHAGEN, 16 OKT – Bintang berbasikal Belanda, Harrie Lavreysen kini memburu kejuaraan untuk mencipta sejarah dengan menambah koleksi 13 gelaran di kejohanan trek dunia yang akan bermula di Denmark esok.
Selepas meraih tiga pingat emas dalam kategori speed di Sukan Olimpik Paris, atlet berusia 27 tahun itu berhasrat untuk menjadi atlet paling banyak meraih gelaran juara di kejohanan dunia.
Bekas pelumba BMX yang digelar The Beast, Lavreysen hanya memerlukan satu emas lagi untuk menyamai pencapaian 14 gelaran Arnaud Tournant dari Perancis dan jika berjaya meraih dua pingat, dia akan bergelar pemenang rekod.
Peluang pertamanya untuk menyamakan rekod itu akan datang dalam acara pecut pasukan esok.
Lavreysen adalah juara pecut lima kali berturut-turut dan dianggap sebagai pilihan utama dalam acara itu selepas meraih pingat emas dalam acara pasukan dan individu, serta pingat emas keirin di Sukan Olimpik Paris.
Bekas pemenang tiga emas dalam keirin, Lavreysen berada di kedudukan keempat dalam perlumbaan itu tahun lalu di Glasgow tetapi meraih emas Olimpik di Paris.
Dia juga membantu Belanda meraih pingat emas dalam pecut pasukan di kejohanan dunia tahun lalu dan di trek Olimpik di Saint-Quentin-en-Yvelines.
Berlangsung hanya dua bulan selepas Paris 2024, beberapa bintang termasuk Filippo Ganna dari Itali tidak menyertai kejohanan dunia yang berlangsung selama lima hari di Ballerup, sebuah kawasan pinggir bandar Copenhagen.
Namun, barisan pelumba lain yang hadir juga bukan calang-calang antaranya pelumba Belgium Lotte Kopecky, juara dunia enam kali, dan Jennifer Valente dari Amerika Syarikat, juara Olimpik tiga kali dan juara dunia tujuh kali. – AFP