Penggaya fesyen selebriti, Law Roach, yang membantu mengubah imej Zendaya dan menjadikan Celine Dion sebagai ikon fesyen, mengejutkan industri minggu lalu apabila beliau mengumumkan persaraannya dari menggayakan golongan-golongan kaya dan artis-artis terkenal.
“Dalam pengumumannya pada 14 Mac lalu di Instagram, beliau menulis: ‘Cawan saya kosong,’ dan menerangkan: “Jika bisnes ini hanya tentang pakaian, saya akan melakukannya sepanjang hayat saya, tetapi malangnya ia tidak demikian! Politik, kebohongan, dan naratif palsu akhirnya membuat saya jemu! Awda menang, saya sudah keluar,” katanya.
Tanpa penjelasan lanjut pada kiriman yang telah dipadamkan tersebut, Roach yang berusia 44 tahun kemudian memberikan beberapa temu bual, dan memberitahu The Associated Press pada Selasa lalu, “Saya hanya mengalami sesuatu dan saya hanya perlu melepaskan segala yang saya alami.”
Persaraan, sekurang-kurangnya dari penggayaan selebriti, adalah nyata, katanya di permaidani merah Anugerah Fashion Trust AS.
“Saya rasa itu adalah cara terbaik bagi saya untuk berhenti dari industri untuk sementara waktu untuk hanya, awda tahu, memulihkan kesihatan mental, kesihatan fizikal saya,” kata Roach.
Selama 13 tahun, Roach telah membantu menata pakaian Kerry Washington, Anya Taylor-Joy, Megan Thee Stallion, Ariana Grande, Dion, dan ramai lagi selebriti terkenal. Beliau telah membantu Zendaya berubah daripada kanak-kanak Disney menjadi bintang A-list yang dewasa dan keduanya mempunyai hubungan yang akrab.
Selepas Oscars, hanya dua hari sebelum pengumuman persaraan mengejutkan beliau, Roach menata pakaian Ann Demeulemeester dengan baju atasan bulu putih kecil untuk majlis selepas pesta Vanity Fair dan bekerjasama dengan beberapa individu pada malam besar Hollywood. Beliau tidak akan menggayakan sesiapa untuk Met Gala yang akan datang pada bulan Mei selepas bertahun-tahun membantu menjayakan malam fesyen terbesar.
Roach, seorang penggaya kulit hitam yang jarang ditemui di Hollywood, juga pernah menjadi hakim di rancangan televisyen Legendary dan dinobatkan sebagai penata gaya sulung Majlis Pereka Fesyen Amerika pada tahun 2022. – AP
