Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Lawan stigma dengan terapi urutan

    KIGALI – Pada suatu pagi, Beth Gatonye memuatkan dua kerusi bergetar ke dalam vannya dan menuju ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kigali bersama tiga rakan sekerjanya yang cacat penglihatan, bersedia untuk menawarkan terapi urut.

    Sejak tahun 2017, lelaki berusia 43 tahun itu telah melatih puluhan wanita dan lelaki yang kelainan upaya penglihatan dalam seni urut dengan tujuan untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi komuniti yang menghadapi diskriminasi di Rwanda itu.

    Malahan hari ini, permintaan terhadap perkhidmatan urut yang ditawarkan oleh syarikat Seeing Hands adalah terhad kepada warga asing, katanya.

    “Rakyat Rwanda mengatakan mereka tidak mahu badan mereka disentuh oleh orang kelainan upaya penglihatan, ia boleh menjadi petanda nasib malang,” katanya kepada AFP.

    “Mereka berfikir seolah-olah menjadi orang kelainanan keupayaan penglihatan adalah sesuatu yang berjangkit,” tambahnya.

    Pakar terapi urut cacat penglihatan melakukan sesi latihan di pejabat Seeing Hands di Kigali, Rwanda, pada 18 Mac 2022. – AFP

    Stigma itu tersebar luas di seluruh negara Afrika Timur, dengan golongan mereka bergelut untuk mengakses peluang pendidikan atau profesional, menurut Rwanda Union of the Blind (RUB).

    “Mereka hidup dalam pengasingan dan keseorangan. Ada yang disembunyikan oleh keluarga mereka kerana malu,” kata jurucakap RUB, Rachel Musabyimana kepada AFP.

    Orang kelainan keupayaan penglihatan Rwanda tidak dapat menghadiri sekolah menengah sehingga tahun 1990an, apabila kurikulum ditukar kepada sistem braille. Mereka juga terpaksa menunggu lebih lama untuk mengakses pendidikan universiti, yang hanya tersedia pada tahun 2008.

    “Penduduk Rwanda menganggap kami sebagai orang yang tidak berguna,” kata Immaculee Karuhura, ahli terapi urutan cacat penglihatan yang bekerja dengan Seeing Hands.

    “Mereka fikir kami hanya bertahan melalui mengemis,” kata Karuhura kepada AFP.

    Mempunyai hala tuju

    Mesikpun wabak COVID menjejaskan perniagaan mereka dengan teruk, dengan perkhidmatan urut dilarang semasa perintah berkurung Rwanda, hari ini Gatonye tidak dapat memenuhi permintaan yang banyak.

    “Saya mempunyai 15 orang wanita buta setakat ini bekerja sebagai tukang urut..Mendapatkan kembali semula orang yang bekerja di sini sebelum wabak COVID adalah sukar tetapi kami sedang berusaha,” katanya.

    Orang cacat penglihatan merangkumi lebih daripada satu peratus daripada 13 juta penduduk negara itu, menurut Tinjauan Kebutaan Kebangsaan Rwanda 2021.

    Punca utama keadaan mereka adalah katarak dan glaukoma yang tidak dirawat sehingga 80 peratus kes tersebut menganggap penyakit itu boleh dicegah atau disembuhkan.

    Perniagaan seperti Seeing Hands menjanjikan kebebasan kewangan kepada orang kurang upaya penglihatan Rwanda.

    Secara purata, tukang urut memperoleh pendapatan kira-kira 92 euro sebulan, lebih daripada dua kali ganda gaji pekerja seperti pelayan wanita atau pembantu rumah.

    “Sekarang saya boleh menjaga diri saya. Saya boleh membayar sewa dan juga membayar yuran sekolah anak-anak saya,” kata Karuhura.

    Pekerjaan itu amat bermakna baginya, tambahnya lagi.

    “Apabila saya melayani pelanggan, saya berasa gembira,” katanya sambil menunjukkan bagaimana kerja itu memberinya harapan dan semangat.

    “Saya merasa seperti dapat berkomunikasi dengan pelanggan saya semasa sesi terapi, dan ini adalah sesuatu yang membuatkan saya sangat emosi”. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...