BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kumpulan Isteri Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli-ahli Bersekutu (KI), kelmarin, telah membuat lawatan ke Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Jalan Commonwealth, Berakas.
Turut serta dalam rombongan lawatan ialah kedua-dua pengerusi kumpulan berkenaan, Yang Dimuliakan Seri Laila Pengiring Diraja Datin Seri Utama Hajah Rosnah binti Abdullah selaku Pengerusi I dan Datin Paduka Hajah Jahrah binti Haji Mohamad selaku Pengerusi II.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, objektif utama lawatan tersebut adalah untuk meraih ilmu mengenai membina cara hidup sihat di samping memberikan pengetahuan kepada ahli-ahli KI tentang fungsi dan peranan Pusat Promosi Kesihatan.
Lawatan seumpama itu merupakan aktiviti tahunan kumpulan berkenaan bagi mengeratkan silaturahim di kalangan ahli.

Atur cara lawatan dimulai dengan lawatan ke Galeri Kesihatan dan kemudian menyaksikan Pesta Mini ‘Brunei Activation Week’.
Rombongan seterusnya mendengarkan taklimat mengenai Pusat Promosi Kesihatan dan program-program kesihatan yang dikendalikan oleh pusat berkenaan.
Lawatan diakhiri dengan sesi dialog mengenai tatacara bagi mengalakkan gaya hidup sihat di negara ini.