Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 16 Okt – Seramai 43 orang yang terdiri daripada pentadbir, guru-guru, guru-guru Bantuan Keperluan Pendidikan Khas (SENA), Learning Support Group (LST), guru-guru relief, ibu bapa dan pelajar-pelajar pendidikan khas dari Sekolah Rendah Keriam, Tutong, Kluster 5 telah mengadakan lawatan balas ke Sekolah Pekan Sipitang, Sabah, baru-baru ini.
Semasa rombongan tiba ke Sekolah Pekan Sipitang, mereka telah dialu-alukan oleh warga sekolah berkenaan dengan barisan pelajar dan guru-guru dengan membawa bunga manggar dan seterusnya dimeriahkan dengan persembahan tarian dan nyanyian daripada pelajar-pelajar berkeperluan khas (PPKI).
Turut hadir mengalu-alukan rombongan ialah Guru Besar Sekolah Pekan Sipitang, Awang Ismail bin Haji Puni.
Semasa lawatan, rombongan berpeluang menyaksikan sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah serta menyaksikan pameran hasil kerja pelajar-pelajar berkenaan. Rombongan juga telah diberikan taklimat mengenai latar belakang sejarah sekolah dan kurikulum PPKI oleh guru sekolah berkenaan Mohd Najib Shafie.
Lawatan juga mengadakan penyampaian sumbangan berupa peralatan sekolah untuk pelajar PPKI seramai 32 orang serta cenderahati kepada pentadbir dan guru-guru sekolah tersebut.
Guru Besar Sekolah Rendah Keriam, Dayang Rasiah binti Haji Mohd Tuddin seterusnya menyampaikan sumbangan peribadinya berjumlah RM200 untuk kegunaan sekolah berkenaan.
Menurut ketua rombongan lawatan, Hajah Saharah binti Haji Abdul Rahman, sumbangan tersebut adalah hasil dari ihsan guru-guru dan ibu bapa pelajar berkeperluan khas Sekolah Rendah Keriam sendiri.
Sebelum ini, Sekolah Pekan Sipitang pernah membuat lawatan sambil belajar ke Model Sekolah Inklusif, Sekolah Rendah Keriam, Tutong pada 6 April yang lalu.
Antara lain objektif lawatan itu diadakan adalah untuk berkongsi maklumat tentang program pendidikan Khas dan aktiviti pembelajaran (PdP) serta meninjau secara dekat suasana pengajaran dan pembelajaran berintegerasi pelajar-pelajar berkeperluan khas di sekolah berkenaan.
Lawatan itu juga bertujuan untuk mengeratkan silaturahim dan perkongsian ilmu dalam pendidikan khas secara khususnya.
Hadir sama mengikuti lawatan tersebut bersama rombongan ialah guru sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai, Hajah Katijah binti Haji Idris; Koordinator Pendidikan Berkeperluan Khas, Unit Pendidikan Khas, Hajah Norazimah binti Abdullah dan Penolong Guru Besar Sekolah Rendah Keriam, Dayang Tini Diana binti Haji Borhanuddin serta enam orang pelajar berkeperluan khas.