Saturday, April 26, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan bantu tingkatkan pemahaman pelajar

    LAWATAN sambil belajar adalah satu aktiviti yang sering dilakukan oleh pelajar dan guru untuk melawat sesuatu tempat.

    Antara lokasi lawatan yang sering menjadi pilihan adalah seperti tempat-tempat bersejarah, pusat pengetahuan, jabatan kerajaan, ekspo pendidikan, industri perkilangan dan sebagainya. Setentunya ramai pelajar yang berasa cukup teruja dan melahirkan minat mendalam untuk menyertai program lawatan sambil belajar yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

    Hakikatnya, terdapat banyak manfaat yang boleh diperolehi oleh setiap pelajar yang mengikuti sesuatu program lawatan sambil belajar.

    Menambah ilmu pengetahuan

    Perkara utama yang dapat memberi manfaat kepada pelajar adalah apabila mereka berpeluang untuk menambah ilmu pengetahuan ketika menyertai sesebuah program lawatan sambil belajar itu.

    Pada kebiasaannya, lokasi lawatan sambil belajar adalah suatu tempat yang tidak pernah dikunjungi oleh para pelajar sekali gus membuatkan mereka dibekalkan dengan buku catatan dan digalakkan membuat pertanyaan kepada pegawai bertugas di sesebuah tempat yang dilawati. Tempat-tempat yang sering menjadi tempat lawatan ialah seperti muzium, syarikat percetakan akhbar, kilang-kilang serta bangunan kerajaan.

    Program lawatan sambil belajar setentunya turut berpeluang untuk mende-dahkan situasi sebenar pekerjaan sekali gus membantu meningkatkan tahap pemahaman dalam diri seorang pelajar. – Gambar hiasan

    Pengetahuan yang diperolehi dari hasil lawatan ini biasanya akan bertahan dengan lebih kekal lama kerana pelajar menggunakan pelbagai deria untuk mendapatkan maklumat.

    Menimba pengalaman baru

    Di samping itu, lawatan sambil belajar juga dapat memberikan pengalaman menarik kepada pelajar di sepanjang penerokaan mereka melalui aktiviti tersebut. Pembelajaran melalui pengalaman ini setentunya dapat memberi kesan yang mendalam kepada diri pelajar.

    Sesungguhnya pengalaman yang dilalui semasa lawatan sambil belajar ini tidak dapat dijual beli dengan wang ringgit.

    Menerapkan nilai-nilai murni

    Lawatan sambil belajar juga membolehkan seseorang guru untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar.

    Amalan nilai-nilai murni ini sememangnya penting kepada pelajar agar mereka dapat menjadi seorang pelajar yang cemerlang. Penerapan nilai-nilai murni ini boleh diterapkan oleh guru pengiring secara langsung atau tidak langsung.

    Antara nilai-nilai murni yang boleh diterapkan oleh guru ialah seperti mematuhi peraturan, menepati masa, bekerjasama dan sebagainya.

    Contohnya, kemalangan jalan raya yang ditemui oleh pelajar semasa dalam perjalanan pula akan memberi kesedaran kepada pelajar agar mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan.

    Memberi semangat kepada pelajar

    Selain itu, lawatan sambil belajar juga dapat memberi semangat kepada pelajar untuk belajar dengan lebih rajin.

    Bagi sesetengah pelajar, mereka memerlukan suasana yang sebenar bagi mendorong mereka untuk belajar. Sewajarnya tempat-tempat yang dapat memberi motivasi kepada pelajar secara langsung dan tidak langsung menjadi tumpuan utama pada sesebuah lawatan.

    Kaedah pengajaran kepada pelajar

    Bagi guru, lawatan sambil belajar merupakan salah satu kaedah pengajaran kepada pelajar.

    Pengajaran dalam kelas kadang-kala turut menerbitkan rasa bosan dalam diri seseorang pelajar. Dengan adanya program lawatan sambil belajar, pelajar akan berasa seronok di samping mendapat pengalaman baru.

    Bagi mencapai objektif pengajaran melalui lawatan, guru mestilah membuat persediaan yang rapi sebelum dan semasa lawatan. Setelah lawatan selesai, sewajarnya pelajar disuruh menulis laporan lawatan atau membuat kara-ngan tentang pengalaman semasa lawatan.

    Mendedahkan skop pekerjaan

    Setiap individu setentunya memiliki cita-cita dan begitu juga seseorang pelajar juga turut menanam cita-cita yang tersendiri.

    Dalam usaha untuk memperlihatkan dan mendedahkan mengenai situasi sebenar yang dialami oleh seseorang pekerja maka program lawatan sambil belajar ini merupakan satu langkah yang terbaik. Dengan mengikuti program seumpama itu, setentunya ia secara tidak langsung turut menggalakkan mereka untuk terus berusaha bagi mencapai sesuatu impian yang ingin mereka kecapi itu. -Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda