Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan bincang hubungan dua hala

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Delegasi enam orang dari Guangxi Housing and Urban-Rural Development Department (HURD) Republik Rakyat China telah mengadakan lawatan kerja ke Kementerian Pembangunan, hari ini.

    Diketuai oleh Ketua Pengarah Guangxi HURD, Profesor Dr Yang Lufeng, rombongan disertai pegawai-pegawai kanan dari Guangxi HURD yang merangkumi pengarah-pengarah dari Personnel and Education Division, Housing Guarantee Division, Construction Market Supervision Division, Urban Construction Division dan Science and Technology Division.

    Semasa lawatan itu, Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid juga menerima kunjungan rasmi daripada delegasi berkenaan.

    Turut hadir semasa kunjungan itu ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; dan Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.

    Delegasi seterusnya menghadiri sesi mesyuarat yang diketuai oleh Sr Hajah Norhayati dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pembangunan.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Ketua Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) Kementerian Pembangunan, Ar Hajah Haslinawati binti Haji Abdul Halim berkata, lawatan antara lain bertujuan untuk mengadakan perbincangan dua hala antara Kementerian Pembangunan dan Guangxi HURD dalam sama-sama mencari bidang kerjasama dan persefahaman yang boleh diterokai bagi menghadapi cabaran global.

    Di samping itu juga bagi mengukuhkan dan menggalakkan kerjasama dalam perumahan dan pembinaan yang berkualiti tinggi yang juga merupakan kesinambungan daripada mesyuarat China-ASEAN Ministerial Roundtable on Construction yang telah diadakan pada 14 hingga 16 September 2023 di Nanning, Republik Rakyat China.

    Delegasi juga telah mendengarkan taklimat bertajuk Kementerian Pembangunan: Menyokong Wawasan Brunei 2035 ke arah Kehidupan Berkualiti Tinggi yang disampaikan oleh Bahagian Penyelarasan Polisi dan Perancangan Strategik, Kementerian Pembangunan; Inisiatif-inisiatif Hijau Menerusi Perancangan Bandar pula disampaikan oleh wakil Jabatan Perancang Bandar dan Desa; dan Inisiatif-inisiatif Kemampanan pula disampaikan wakil dari ABCi.

    Sesi taklimat diakhiri dengan sesi soal jawab serta perbincangan terbuka antara kedua-dua pihak sebelum lawatan ke tapak perumahan Kampung Lugu, Mukim Sengkurong selepas mendengarkan taklimat berhubung perancangan dan aktiviti kemajuan yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan, Dayang Rosniza binti Dato Paduka Haji Hamdani.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menyampaikan cenderahati kepada Profesor Dr Yang Lufeng semasa lawatan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN ABCI
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda dan Profesor Dr Yang Lufeng bergambar ramai semasa lawatan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN ABCI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda