Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 DIS – Para pelajar Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah membuat lawatan sambil belajar ke Brunei Halal Foods di Taman Perindustrian Salambigar, September lalu.
Lawatan bagi kursus CM3314 Islamic Marketing itu diketuai oleh pensyarah, Dr Khatijah binti Othman dan penolong pensyarah, Dayang Noorhizrah binti Mohammad dengan disertai 14 orang pelajar Tahun 3 dan 4 Sarjana Muda Pengurusan Pembangunan.
Antara objektif lawatan adalah untuk memberi pendedahan dan mengetahui dengan lebih lanjut lagi berkenaan pembangunan dan penjenamaan produk, mengenal pasti jangka hayat produk, proses pensijilan, eksport strategi dan pemasaran produk di peringkat tempatan.
Perbincangan dan soal jawab para pelajar dengan pihak Brunei Halal diwakili oleh Pengurus Kanan Bahagian Pengilangan, Wahyoe dan Pengurus Pembangunan Modal Insan berkenaan dengan pengembangan syarikat untuk produk halal, Hajjah Nur Suzi.
Dalam masa yang sama, ia juga membuka minda para pelajar untuk meneroka peluang sebagai salah seorang pengeluar produk makanan halal Brunei pada masa akan datang melalui home-based entrepreneur Halal product yang disahkan oleh Brunei Halal.


