Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Seramai 38 orang ahli jawatankuasa (AJK) takmir dan Kumpulan Muslimah Masjid Pehin Khatib Abdullah (PEKA), Kampung Kulapis baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Kompleks Yayasan Anak-anak Yatim, Miri, Sarawak, Malaysia.
Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Imam Masjid PEKA, Haji Muhd Burhanuddin bin Haji Damit bersama Ketua Hal Ehwal Muslimah Masjid PEKA, Hajah Norainah binti Haji Kahar dialu-alukan oleh pengawas rumah kebajikan anak-anak yatim tersebut, Shamsiah binti Haji Sanai Tahir, serta ahli-ahli jawatankuasanya.
Semasa lawatan tersebut, rombongan berpeluang beramah mesra bersama 57 orang anak-anak yatim sekali gus berpeluang menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim hasil sumbangan ahli-ahli AJK takmir dan Muslimah Masjid PEKA.
Rombongan tersebut juga dibawa meninjau kemudahan yang terdapat di kompleks berkenaan seperti asrama lelaki dan perempuan di samping menyaksikan aktiviti-aktiviti yang diadakan di sana.