Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Lawatan demonstrasi Airbus H175 di Borneo

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 FEB – Airbus dengan sokongan Hornbill Skyways dan HAS International, telah mengerahkan helikopter H175 ke Borneo untuk mengadakan lawatan demonstrasi penerbangan sulungnya ke Malaysia Timur dan Brunei Darussalam.

    Lawatan demonstrasi penerbangan sulung helikopter H175 akan bermula dari Miri, Sarawak yang mana penerbangan tersebut akan membuat dua perhentian iaitu di Brunei Darussalam dan Kota Kinabalu, Sabah sebelum kembali ke Miri. Penerbangan tersebut akan mempamerkan kecemerlangan prestasi helikopter berdasarkan kelajuan yang dimiliki, kualiti penerbangan yang lancar serta keselesaan kabin secara nyata.

    Pada setiap hentian, tetamu jemputan akan dibawa untuk melawat helikopter yang menampilkan susun atur 16 tempat duduk yang selesa mengikut konfigurasi pengangkutan luar pesisir. Wakil Airbus juga akan menyampaikan taklimat produk berkaitan H175 dan tetamu juga akan turut menikmati demonstrasi penerbangan.

    H175 merupakan helikopter pelbagai fungsi yang terbukti kemampuannya, menggabungkan sistem avionik canggih serta platform yang terjamin untuk menjana keupayaan menyempurnakan pelbagai misi lasak bagi tugasan pertukaran kru luar pesisir, penguatkuasaan, mencari dan menyelamat, perkhidmatan perubatan kecemasan serta penerbangan untuk tujuan perniagaan mahupun peribadi.

    Dibangunkan demi memenuhi keperluan industri tenaga, H175 menampilkan tahap prestasi yang cemerlang, kecekapan kos yang tiada tandingan serta keupayaan untuk mengangkut 16 orang penumpang dengan selesa pada kelajuan penerbangan sepantas 155 kilometer sejam (kmsj).

    H175 turut dilengkapi Helionix, yang merupakan gabungan abionik bersepadu Airbus yang canggih serta autojuruterbang 4-paksi, yang menawarkan tahap kesedaran situasi dipertingkatkan dan tahap keselamatan operasi lebih tinggi yang berfungsi untuk membantu mengurangkan bebanan kerja juruterbang.

    Pesawat ini juga menampilkan keupayaan mendekati pelantar minyak secara automasi sepenuhnya.

    Gambar fail menunjukkan helikopter H175 akan membuat lawatan demonstrasi penerbangan sulungnya ke Malaysia Timur dan Brunei Darussalam.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...