Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Sept – Dalam usaha untuk menjalin hubungan silaturahim dan tali persaudaraan sesama Islam, Masjid Paduka Seri Begawan Sultan Omar Ali Saifuddien (PSB SOAS), Kampung Katimahar telah mengadakan lawatan muhibah ke Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) di Labuan.
Seramai 18 orang yang terdiri daripada ahli-ahli takmir masjid dan Muslimah Masjid PSB SOAS Kampung Katimahar menyertai lawatan berkenaan turut menyampaikan beberapa bantuan berupa pakaian dan kewangan bagi anak yatim dan mereka yang mengalami musibah kebakaran di sana.
Selain itu, kunjungan lawatan tersebut adalah bagi menambahkan lagi ilmu pengetahuan dan pengalaman para peserta khususnya bagi AJK takmir masjid dan para jemaah muslimah Masjid PBSOAS Kampung Katimahar.
Melalui lawatan berkenaan para peserta yang diketuai oleh Hajah Adijah binti Haji Taha turut berpeluang mengetahui cara pelaksanaan visi dan misi LKPIM, Labuan.