Oleh Fadley Faisal –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Sebuah rombongan yang terdiri daripada 26 orang ahli takmir masjid dan Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Sungai Bunga telah mengadakan lawatan silaturahim ke Masjid Kampung Putat dan Taman Rekreasi Herba Kampung Putat, baru-baru ini.
Kehadiran rombongan tersebut dialu-alukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed selaku Ketua Kampung Putat; Pemangku Imam Masjid Kampung Putat, Awang Afendi bin Haji Taha bersama-sama ahli takmir masjid, majlis perundingan kampung (MPK), Kelas Bimbingan Muslimah Masjid Kampung Putat dan penduduk kampung.
Antara program yang diadakan sepanjang lawatan tersebut termasuk sembahyang Sunat Hajat, bacaan Ratib Al-Attas dan bacaan Doa Peliharakan Sultan, pembentangan sejarah masjid, aktiviti-aktiviti harian mingguan masjid dan aktiviti takmir masjid bersama-sama MPK.
Selain itu lawatan turut diisikan dengan kempen kebersihan dan beramah mesra bersama penduduk kampung serta lawatan ke Taman Rekreasi Herba Kampung Putat.
Acara tersebut diadakan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat setempat.





