Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 DIS – Rombongan seramai 28 orang dari Lembaga Kebajikan Anak-anak Yatim Sarawak, Cawangan Miri baru-baru ini telah mengadakan lawatan kerja ke Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong.
Rombongan terdiri daripada 23 orang anak yatim dan lapan orang pegawai pengiring yang diketuai oleh Pengurus Cawangan Miri, Shamsiah binti Haji Sanai Tahi.
Lawatan itu bertujuan antara lain untuk mengeratkan hubungan silaturahim, bertukar-tukar idea dan pandangan mengenai perkembangan dan kemajuan serta peranan masjid bagi menyantuni jemaah masjid, masyarakat kampung dan anak-anak yatim.
Semasa lawatan tersebut, rombongan telah mendengar taklimat ringkas daripada Pengerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam, Haji Amaluddin bin Haji Jamauddin, imam masjid berkenaan.
Dalam taklimat itu, rombongan berpeluang mengetahui tugas dan peranan AJK masjid dalam sama-sama memajukan dan mengimarahkan masjid.
Pada majlis itu, pihak masjid turut menyampaikan derma kepada anak-anak yatim berkenaan.
Sementara itu, Shamsiah turut melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak AJK masjid kerana memberikan sambutan dan layanan yang sangat baik.
Turut hadir semasa lawatan itu ialah AJK dan jemaah Masjid Al-Ameerah Al-Hajah Maryam.