Thursday, November 28, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan fahami peranan utama AITI

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Seramai 16 orang ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah mengadakan lawatan ke Pejabat Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI), Kampung Anggerek Desa, pagi tadi.

    Antara tujuan lawatan adalah bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai peranan utama AITI dan pendekatan ke atas isu-isu yang melibatkan pengawalseliaan sektor telekomunikasi dan pos, pengurusan spektrum frekuensi radio kebangsaan dan perkembangan industri teknologi info-komunikasi (ICT) di negara ini.

    Lawatan dimulai dengan taklimat pengenalan AITI yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif AITI, Ir Haji Jailani bin Haji Buntar yang antara lain mengongsikan mengenai kedudukan dan landskap sektor ICT, serta hala tuju dan cabaran dalam mengawal selia dan mengembangkan sektor infokomunikasi.

    Rombongan seterusnya berpeluang untuk menyaksikan pameran dan meninjau dengan lebih dekat lagi inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan seperti program-program pembangunan kapasiti digital, pengawalseliaan kandungan dan program kesedaran kecurian kabel.

    Selain itu, ahli-ahli MMN turut dibawa meninjau peralatan-peralatan sistem pemantauan perkhidmatan telekomunikasi.

    Lawatan tersebut merupakan perjumpaan pertama kali ahli-ahli MMN bersama warga AITI dan ia menjadi satu platform untuk berkongsi maklumat mengenai pencapaian serta meningkatkan kesedaran tentang peranan AITI dalam mencapai matlamat untuk mentransformasikan Negara Brunei Darussalam menjadi Negara Pintar.

    AITI yang ditubuhkan pada 1 Januari 2003 melalui Perintah AITI, 2001 merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab untuk melaksanakan fungsi pengawalseliaan sistem dan perkhidmatan telekomunikasi serta mengurus spektrum frekuensi radio nasional dengan berkesan.

    Di samping itu, AITI turut menanai amanah untuk melindungi kepentingan pengguna dengan mempromosikan harga yang kompetitif, selain memastikan kualiti perkhidmatan dan mengembangkan industri teknologi maklumat dan komunikasi Negara Brunei Darussalam.

    Ir Haji Jailani semasa memberikan penerangan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Ir Haji Jailani bergambar ramai bersama rombongan ahli-ahli MMN di Pejabat AITI, kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda