Oleh Faridah Haji Ibrahim
BANDAR SERI BEGAWAN – Bagi mengeratkan lagi tali silaturahim diantara muslimah masjid-masjid Negara Brunei Darussalam dan Persatuan Halaqah Selangor, rombongan daripada gabungan muslimah Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut dan Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong baru-baru ini telah mengadakan lawatan keugamaan ke Kuala Lumpur, Selangor.
Rombongan gabungan muslimah seramai 21 orang itu telah diketuai oleh ketua muslimah Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Dayang Sharah binti Omar. Lawatan selama lima hari bermula 20 April 2017 sehinggan 24 April 2017 itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti penyerahan derma anak-anak yatim, menyumbangkan derma bagi rumah wakaf Tahsin Tilawah di mana rumah ini adalah sebuah tempat pembelajaran Al-Quran bagi orang-orang dewasa dan kanak-kanak dan pembacaan tahlil, Surah Yasin dan tazkirah pada setiap hari Jumaat.
Rombongan juga berkesempatan menyerahkan derma berupa makanan, minuman, buah-buahan dan beberapa barangan lain kepada 300 orang gelandangan yang dianjurkan oleh Persatuan Halaqah Selangor bersempena Sambutan Israk dan Mikraj. Hubungan diantara Persatuan Halaqah Selangor dan rombongan gabungan muslimah masjid-masjid Negara Brunei Darusalam ini telah terjalin sejak dari tahun 2012.

