BANDAR SERI BEGAWAN, 21 NOV- Kira-kira 10 guru Pengajian Perniagaan dari sekolah menengah kerajaan di Negara Brunei Darussalam telah membuat lawatan ke Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, baru-baru ini. Turut hadir semasa lawatan berkenaan ialah Pakar Subjek dari Jabatan Sekolah-sekolah (JSS) bagi subjek Pengajian Perniagaan, Dr Andree Asmara bin Haji Abidin.
Lawatan berkenaan dianjurkan oleh Sekolah Menengah Lambak Kiri, ahli hab Aktiviti Perkembangan Profesional di bawah Subject Based Committee (SBC) Pengajian Perniagaan. Sementara sekolah tuan rumah bagi SBC Pengajian Perniagaan ialah Sekolah Menengah Masin.
Ketibaan rombongan tersebut disambut oleh Penyelia Jaminan Kualiti dari Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd, Puan Wong Siew Yien. Satu taklimat mengenai keselamatan dan latar belakang syarikat telah diadakan, disusuli dengan sesi soal jawab dan pemerhatian terhadap proses pengeluaran.
Dihasratkan maklumat yang diperoleh daripada lawatan berkenaan dapat digunakan oleh guru-guru dalam pengajaran topik-topik berkaitan dengan memberikan contoh-contoh tempatan.
Di akhir lawatan, Ketua Hab Aktiviti Perkembangan Profesional di bawah SBC Pengajian Perniagaan, Dayang Nor Azimah binti Haji Mohammad, yang merupakan guru subjek Pengajian Perniagaan dari Sekolah Menengah Lambak Kiri menyampaikan cenderamata yang juga disediakan oleh Sekolah Menengah Masin, sekolah tuan rumah SBC Pengajian Perniagaan.



