Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JUN – Sebagai salah satu usaha untuk memotivasi golongan belia agar terus memiliki semangat komitmen, jiwa kesedaran dan rasa tanggungjawab dalam meningkatkan diri sekali gus berbakti kepada agama, bangsa dan negara, sehubungan itu Biro Belia Majlis Perundingan Kampung (MPK) Ukong telah mengungkayahkan lawatan sambil belajar di dua lokasi di Daerah Brunei dan Muara, baru-baru ini.
Rombongan yang disertai oleh 30 orang belia dan beliawanis Kampung Ukong Daerah Tutong itu telah diketuai oleh Ketua Biro Belia MPK Ukong, Awang Mohd Subhi bin Haji Julaihi yang mana mereka berpeluang melawat Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB) dan Balai Pameran Pusat Dakwah Islamiah.
Dalam perkongsian kepada Media Permata, Awang Mohd Subhi berkata lawatan berkenaan bertujuan untuk memberi pendedahan khususnya golongan belia dan beliawanis Kampung Ukong bagi menimba ilmu pengetahuan dan juga pengalaman baharu mereka meliputi aspek ilmu keagamaan, sejarah pendidikan Islam dan juga sosiobudaya.
Selain itu, jelasnya lawatan sedemikian sebagai salah satu pengisian bermanfaat di masa lapang lebih-lebih lagi di musim cuti penggal persekolahan ini.
Di samping itu, dengan pelbagai kegiatan yang diungkayahkan oleh Biro Belia MPK Ukong itu diharap ia secara tidak langsung menjadi satu platform bagi sama-sama membantu golongan belia kampung untuk meningkatkan jati diri sebagai belia berwawasan.



