Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan ilmiah pelajar berkeperluan khas ke BKISHHB

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Dalam usaha menyemai rasa kecintaan dan penghormatan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, di samping meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan menjaga warisan Islam, pelajar-pelajar berkeperluan khas Sekolah Menengah Sayyidina Hussain, Jerudong, kelmarin, telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

    Lawatan sambil belajar merupakan salah satu medium pembelajaran berkesan yang dapat memberi pengalaman langsung kepada pelajar.

    Melalui lawatan ini, para peserta berpeluang melihat sendiri khazanah dan peninggalan Rasulullah SAW yang penuh dengan nilai sejarah serta pengajaran.

    Aktiviti ini dijangka dapat menambahkan kefahaman pelajar tentang sejarah Islam, menanam rasa cinta kepada Rasulullah SAW, serta meningkatkan penghayatan terhadap ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

    Antara objektif lawatan ini, memberi pendedahan kepada peserta mengenai khazanah dan barangan peninggalan Rasulullah SAW, mengaitkan nilai sejarah dengan kehidupan seharian pelajar agar lebih berakhlak mulia, di samping mengukuhkan ukhuwah dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar serta guru.

    Lawatan ke BKISHHB yang menempatkan barangan peninggalan Rasulullah SAW ini diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar-pelajar berkeperluan khas mendekati dan menghayati sejarah Islam secara lebih bermakna.

    Melalui pengalaman secara langsung, pelajar dapat meningkatkan kefahaman mengenai khazanah warisan Islam, seterusnya memupuk rasa cinta, hormat, dan bangga terhadap peninggalan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

    Selain itu, aktiviti lawatan ini juga dapat membantu perkembangan sahsiah, membina keyakinan diri, serta memperkukuh kemahiran sosial pelajar melalui pembelajaran di luar bilik darjah.

    Gambar rombongan pelajar berkeperluan khas SM Sayyidina Hussain, Jerudong, kelmarin mengadakan lawatan ke BKISHHB. – GAMBAR SERAHAN SM SAYYIDINA HUSSAIN, JERUDONG
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda