BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Seramai 40 orang rombongan yang terdiri daripada guru mata pelajaran Travel and Tourism dari sekolah menengah dan maktab kerajaan, ahli pentadbiran Sekolah Menengah (SM) Pehin Datu Seri Maharaja, Mentiri, ketua bahagian program dan Akademik, pegawai-pegawai Unit Akademik Jabatan Sekolah-Sekolah dan pegawai daripada Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan telah membuat lawatan ke Brunei River Cruise yang terletak di Jeti Queen Elizabeth II Kampung Dato Gandi, kelmarin.
Rombongan tersebut diketuai oleh Pengetua SM Pehin Datu Seri Maharaja, Pengiran Hajah Norhisma binti Pengiran Haji Hassan.
Kedatangan rombongan telah disambut oleh Pengurus Perhubungan Awam, Taufik Hidayat dan Eksekutif Jualan dan Pemasaran Brunei River Cruise, Dayang Norhamizah binti Yusop.
Semasa lawatan tersebut, para rombongan berpeluang untuk membuat pelayaran selama dua jam di Sungai Brunei menggunakan kapal dengan menaiki Kapal MV Sentosa itu.
Sementara itu, kakitangan Brunei River Cruise menyampaikan taklimat mengenai syarikat tersebut dan mengongsikan beberapa promosi-promosi yang ditawarkan. Mereka juga menyentuh mengenai teknik pemasaran, perancangan masa depan dan diikuti dengan sesi soal jawab. Semasa lawatan tersebut, guru-guru berpeluang untuk melihat tarikan yang terdapat di Sungai Brunei.
Di akhir lawatan itu, Pengiran Hajah Norhisma menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada Taufik Hidayat sebagai tanda penghargaan.