Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Dalam memanfaatkan masa terluang dengan menikmati suasana kampung negara jiran sambil bersilaturahim, seramai 45 orang ahli Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Brunei dan Muara telah mengadakan lawatan ke Kampung Punang, Lawas, Sarawak, baru-baru ini.
Rombongan yang diketuai oleh Pengurus PKWE Daerah Brunei dan Muara, Haji Yusof bin Mohd Salleh itu telah memulakan lawatan di Masjid Darul Iman, Kampung Punang di mana mereka dialu-alukan oleh ahli-ahli jawatankuasa masjid tersebut dan disambut dengan pukulan hadrah.
Sejurus ucapan muhibah daripada Pengerusi Masjid Darul Iman, Kampung Punang, Rosli bin Dollah dan Pengerusi PKWE Daerah Brunei dan Muara, lawatan turut diserikan dengan persembahan selawat nabi dan dikir Brunei yang diketengahkan oleh ahli-ahli rombongan tersebut.
Dalam pada itu, Haji Yusof menyampaikan wakaf dan cenderahati daripada ahli PKWE Daerah Brunei dan Muara bagi masjid tersebut yang diterima oleh pengerusi masjid berkenaan.
Setelah menunaikan sembahyang Fardu Zuhur berjemaah, rombongan meneruskan lawatan ke rumah Penghulu Haji Marali bin Ambi di kampung berkenaan diselajurkan dengan menikmati jamuan tengah hari.
Lawatan berkenaan bukan hanya untuk meninjau lebih dekat lagi aktiviti yang dijalankan di kampung berkenaan bahkan bagi bertukar-tukar pandangan dan pengalaman sekali gus diharap hubungan persaudaraan sesama Islam yang telah terjalin itu akan terus mekar sampai bila-bila dengan saling mengadakan kunjungan silaturahim pada masa akan datang.
