BUDAPEST, HUNGARY, 19 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat mengadakan lawatan ke Kincsem Park di Budapest, Hungary.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Sejurus keberangkatan tiba di Kincsem Park, Baginda dijunjung oleh Presiden Hungary, Tuan Yang Terutama Dr Tamás Sulyok; Menteri Pertahanan Hungary, TYT Kristóf Szalay-Bobrovniczky dan Ketua Pegawai Eksekutif Kincsem Park, Adam Szotyori Nagy.
Kincsem Park merupakan pusat lumba kuda nasional Hungary dan salah sebuah institusi sukan berkuda tertua di negara tersebut, terkenal dengan sejarah tradisi ekuestrian dan peranannya dalam memelihara warisan sukan berkuda Hungary.
Baginda kemudian berangkat menyaksikan pertunjukan demonstrasi berkuda yang mempamerkan kemahiran dan tradisi ekues-trian Hungary, serta mendengar sembah penerangan mengenai peranan Kincsem Park dalam pembangunan sukan berkuda negara berkenaan.




Lawatan ke Kincsem Park ini mencerminkan salah satu peluang bagi kedua-dua negara dalam memperluas hubungan dua hala, khususnya dalam aspek kebudayaan, sukan dan pertukaran kemahiran.
KEBERANGKATAN BALIK DARI HUNGARY
Selesai mengadakan lawatan ke Kincsem Park, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berangkat balik dari Budapest, Hungary.
Sebelum berangkat balik, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Liszt Ferenc Budapest bagi menyembahkan ucapan selamat berangkat ke-hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Ketua Pengarah Sándor Palace, Dr Timár István Szilveszter dan Ketua Protokol Sándor Palace, Katinka Kónya.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Liew bin Abdullah; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof; dan Chargé d’Affaires ad interim di Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Brussels, Kingdom of Belgium (Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam Tidak Menetap ke Hungary), Jefferson Leong Weng Hong.
