Monday, September 16, 2024
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lawatan ke Miri perkasa kemahiran jentera berat pelajar

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Dengan hasrat untuk memberikan perspektif baharu dalam pembelajaran dan penglibatan industri, lima orang tenaga pengajar bersama 14 orang pelajar dari program Ntec in Heavy Machinery Technician dari IBTE Sekolah Tenaga dan Kejuruteraan Sentral (SEEC, IBTE) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Sime Darby Industrial dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri, baru-baru ini.

    Lawatan sambil belajar yang diketuai oleh Ketua Program HNTec Automotive Engineering, Ntec in Heavy Machinery Technician dan Ntec in Light Vehicle Mechanic, Haji Muhd Khairulanwar @ Syafi’ie bin Haji Muhd Haranadi itu bermatlamat untuk menambah nilai program yang sedia dijalankan oleh SEEC, IBTE.

    IKBN adalah antara institut di Borneo yang menawarkan program yang berkaitan dengan jurusan automotif dan jentera berat. Antara jurusan dalam automotif yang ditawarkan adalah sijil dalam penyelenggaraan kereta, motosikal, kenderaan perdagangan dan jentera berat.

    Menerusi lawatan sambil belajar berkenaan, tenaga pengajar dan penuntut diharapkan boleh melihat kemudahan yang ada dan dijadikan sebagai permulaan bagi peluang kerjasama antara IKBN dan SEEC, IBTE selain manfaat perspektif pelajar tentang peluang pekerjaan mereka.

    Rombongan dari IBTE dialu-alukan oleh Timbalan Pengarah, Hal Ehwal Pelajar IKBN, Miri, Sarawak, Kaya Raju.

    Sementara itu, Sime Darby Industrial merupakan pembekal perkhidmatan serantau bagi jentera berat dan salah satu pengedar yang memberikan perkhidmatan penyelenggaraan pada peralatan jentera berat di Brunei Darussalam, khususnya dalam industri minyak dan gas dan juga maritim.

    Di samping itu, Sime Darby juga merupakan salah satu ahli Programme Development and Evaluation Committee (PDEC) IBTE dan telah banyak memberikan sumbangan buah fikiran khususnya bagi membentuk dan pembangunan program NTec in Heavy Machinery Technician dan semasa permesyuaratan After Action Review yang telah diadakan pada tahun lepas. Rombongan disambut oleh Pengurus Projek Sime Darby Industrial, Fadli Shah bin Muhd Shah.

    Para tenaga pengajar dan pelajar SEEC, IBTE bergambar ramai semasa lawatan sambil belajar mereka ke Miri, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN IBTE
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda